Polis Kelantan hargai Thailand patahkan cubaan seludup syabu RM36.3 juta

Mohd Yusoff (depan, tengah) bergambar bersama peserta program di IPK di Kota Bharu.
Mohd Yusoff (depan, tengah) bergambar bersama peserta program di IPK di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memperkukuh kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand dalam mengekang jenayah rentas sempadan termasuk kemasukan dadah ke negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata demikian sambil menyampaikan penghargaan atas tindakan pantas negara jiran itu memintas cubaan penyeludupan 750 kilogram (kg) syabu bernilai RM36.3 juta ke negara ini pada Rabu.

Menurut beliau, kejayaan itu amat bermakna kerana bekalan dadah tersebut dipercayai menjadikan Malaysia khususnya negeri ini sebagai destinasi akhir.

“Thailand bukanlah negara tumpuan dadah ini, sebaliknya sering dijadikan laluan sindiket.

“Jadi, kami ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand kerana berjaya menumpaskan sindiket sebelum bekalan tersebut sempat diseludup masuk ke negara kita dan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai Anak Muda Bikers bersama Ketua Polis Kelantan 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff memaklumkan pihaknya turut menerima maklumat bahawa pihak berkuasa Thailand akan memperketat lagi kawalan di sempadan mereka dengan menambah pos kawalan serta Sekatan Jalan Raya (SJR) sepertimana pendekatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di negara ini.

Dalam perkembangan program motosikal ini, Mohd Yusoff berkata, PDRM Kelantan mengambil pendekatan berbeza dengan mendekati komuniti permotoran secara berhemah bagi mengekang gejala lumba haram dan merempit berbanding hanya bergantung kepada tindakan saman semata-mata.

“Program santai ini berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peserta dan dimanfaatkan untuk memberi penerangan secara terus mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada golongan belia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!