'Pangkat bukan pelindung, TUDM tegas isu dadah' - Muhamad Norazlan

SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi amaran keras tiada ruang mana-mana warga pasukan terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, tanpa mengira pangkat mahupun jawatan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang salah laku, lebih-lebih lagi jika membabitkan penyalahgunaan pesawat atau aset ketenteraan bagi menjalankan kegiatan jenayah itu
Beliau berkata, TUDM turut mengambil langkah proaktif dengan menahan individu yang disyaki terbabit sebelum menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"TUDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit dalam kegiatan jenayah khususnya jika melibatkan penyalahgunaan pesawat atau aset ketenteraan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan pada Selasa lalu, membabitkan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan.
Penahanan kesemua suspek dilaksanakan hasil kerjasama risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dilakukan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah yang membawa kepada penahanan lima pegawai TUDM dan enam orang awam.
Menurutnya, operasi tersebut membawa rampasan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kg.
Dalam pada itu, Muhamad Norazlan berkata, penemuan bahan disyaki dadah itu hasil pengesanan awal petugas TUDM yang menemui beberapa bagasi dalam keadaan mencurigakan di bangunan berkenaan.
"Pemeriksaan awal mendapati bagasi terbabit tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan, sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan anggota keselamatan Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas.
"Hasil pemeriksaan itu mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun kemas di dalam bagasi berkenaan," ujar beliau.
Jelasnya, susulan itu, TUDM menahan individu yang disyaki terlibat sebelum menyerahkan mereka kepada JSJN Bukit Aman untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Setakat ini, lima pegawai dan dua anggota TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
"TUDM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

