Sindiket dadah eksploitasi kemudahan TUDM: Ujian besar integriti, keselamatan negara

Seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan menerusi beberapa siri operasi di Lembah Klang dan Sabah.
Seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan menerusi beberapa siri operasi di Lembah Klang dan Sabah.
A
A
A

PENDEDAHAN sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa lalu membuka dimensi baharu terhadap ancaman jenayah terancang melibatkan institusi keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan pada Khamis berkata, seramai 11 individu termasuk lima pegawai TUDM ditahan menerusi beberapa siri operasi di Lembah Klang dan Sabah.

Sindiket tersebut yang aktif sejak Julai lalu dilapor menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan untuk membawa 96.64 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM4.83 juta selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kg dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula memaklumkan bahawa kegiatan itu terbongkar selepas pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara (PU) Subang menemukan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris tampil dengan kenyataan rasmi, menegaskan bahawa TUDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, selain memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan menyeluruh dilaksanakan.

Kes ini bukan sekadar berkaitan pengedaran dadah, sebaliknya membangkitkan persoalan serius mengenai integriti, kawalan keselamatan dan penyalahgunaan akses terhadap aset strategik negara.

Penglibatan anggota pasukan keselamatan sekiranya disabit dan dibuktikan di mahkamah, boleh mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan yang dipertanggungjawabkan menjaga kedaulatan negara.

Lebih membimbangkan, eksploitasi kemudahan ketenteraan menunjukkan sindiket jenayah sanggup mengambil kesempatan terhadap kelemahan kawalan dalaman.

Justeru, siasatan mesti diperhebatkan bagi mengenal pasti dalang utama, kemungkinan penglibatan pihak lain selain menilai semula prosedur pemeriksaan dan pemantauan aset ketenteraan.

Artikel Berkaitan:

Ketegasan undang-undang, ketelusan siasatan dan akauntabiliti tanpa mengira pangkat penting bagi memastikan keselamatan negara tidak dikompromi oleh kepentingan jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!