Penduduk Rantau Panjang sedia rakit hadapi tengkujuh

PASIR MAS – Penduduk di Rantau Panjang di sini mula membuat persiapan menghadapi musim tengkujuh dengan memindahkan barangan rumah ke tempat lebih tinggi, menyediakan bekalan makanan serta rakit bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Seorang penduduk, Wan Azlina Wan Yusof, 52, berkata, rakit yang diterima daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dua tahun lalu menjadi antara kelengkapan penting keluarganya untuk memindahkan barangan rumah ke tempat selamat apabila paras air mula meningkat.
Menurut suri rumah itu, rakit itu digunakan secara berkongsi oleh tiga keluarga untuk menyelamatkan barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh serta pakaian daripada rosak akibat banjir.
“Apabila air mula naik dan memasuki kawasan rumah, kami segera mengangkat barangan ke atas rakit dengan barangan elektrik dan pakaian menjadi keutamaan untuk diselamatkan.
“Tahun lalu, kami sudah menggunakan rakit ini untuk memindahkan barangan walaupun banjir tidak begitu teruk,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Berdasarkan data Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Golok mencatatkan bacaan 7.18 meter pada malam Khamis, melepasi paras waspada 7.00 meter, sebelum kembali ke paras normal pada bacaan 6.98 meter pada Jumaat.
mengulas lanjut, Wan Azlina berkata, penduduk kampung sentiasa berwaspada kerana paras air sungai boleh meningkat dengan cepat, sekali gus memerlukan mereka bertindak segera bagi mengelakkan kerugian lebih besar.
Sementara itu, Nur Hayati Jusoh, 50, berkata, persiapan menghadapi banjir tahun ini lebih mencabar kerana anak perempuannya, Nur Syamimi Alias, 23, dijangka pulang ke kampung untuk berpantang selepas bersalin.
Menurut tukang jahit itu, keluarganya sudah menyediakan bekalan makanan termasuk beras dan gas memasak lebih awal, selain merancang berpindah sementara ke rumah adiknya yang terletak di kawasan lebih tinggi sekiranya banjir melanda.
Katanya, pengalaman berdepan banjir selama tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024 menyebabkan keluarganya lebih berhati-hati selepas mengalami kerugian kira-kira RM5,000 akibat kerosakan barangan rumah setiap kali kejadian.

“Dulu air pernah naik sehingga tiga meter di kawasan rumah, walaupun lantai rumah agak tinggi, air tetap masuk sehingga paras satu meter dan banyak barang rosak.
“Setiap tahun kami buat persediaan awal, cuma kali ini lebih risau memikirkan keadaan anak yang bakal bersalin sekiranya banjir berlaku,” jelasnya.
Dalam pada itu, wakil sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Surani Daud, 48, berkata, sebanyak 20 rakit disumbangkan kepada penduduk di beberapa kampung termasuk Meranti, Banggol Kulim, Lubok Gong dan Bandar Rantau Panjang sebagai persediaan menghadapi banjir.
Menurutnya, sumbangan itu membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM80,000 dengan setiap rakit bernilai RM4,000.
“Rakit ini digunakan secara berkongsi oleh penduduk untuk menyimpan barangan rumah ketika banjir kerana ia boleh terapung apabila paras air meningkat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

