5 pegawai TUDM ditahan: Pemeriksaan rutin bagasi bongkar cubaan seludup dadah - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR - Pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang, Selasa lepas membawa kepada penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak serta penahanan lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu dibuat petugas di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan merupakan kejadian pertama seumpamanya dikesan menerusi pemeriksaan rutin berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
"Pada 5.20 petang hari yang sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan ialah dadah berbahaya dan semua lima bagasi serta sebuah kotak telah disita sebagai bahan bukti manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat telah ditahan polis," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Khaled berkata, TUDM mengambil tindakan segera dengan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses berkenaan.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan termasuk pengendalian kes itu.
"Operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiat bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia kekal bebas daripada kegiatan dadah," katanya.
Terdahulu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan susulan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
