Projek kilang simen RM1 bilion di Gua Musang mula pembersihan tapak

Md Anizam (tengah) yang diiringi Phasit (kanan) menunjukkan produk ikan masih di festival di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Md Anizam (tengah) yang diiringi Phasit (kanan) menunjukkan produk ikan masih di festival di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Projek pembinaan kilang simen bernilai lebih RM1 bilion di Gua Musang kini berada di peringkat akhir sebelum direalisasikan apabila kerja-kerja pembersihan tapak sudah mula dijalankan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, projek jangka panjang itu melibatkan kerjasama antara syarikat tempatan dengan syarikat dari China, West China Cement.

Menurutnya, kilang pengeluaran simen yang akan dibangunkan di kawasan Ketil, Gua Musang itu dijangka membuka banyak peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

“Pelaburan ini bernilai lebih kurang RM1 bilion dan merupakan projek jangka panjang yang sudah lama dirancang, namun kini baru dapat direalisasikan.

“Sekarang ia sudah berada di peringkat akhir dan kerja-kerja pembersihan tapak sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Halal Thai di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Phasit Chudabuddhi.

Mengulas mengenai aspek logistik dan pengangkutan bahan binaan itu nanti, Md Anizam berkata, ia berkemungkinan menggunakan perkhidmatan kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memandangkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak mempunyai stesen di Gua Musang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Festival Halal Thai yang berlangsung selama lima hari bermula semalam, beliau menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung sepanjang program tersebut.

Katanya, festival yang menghimpunkan peniaga dari empat wilayah di Thailand itu diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi merapatkan silaturahim serta merancakkan sektor pelancongan.

“Selepas ini, usahawan dan peniaga dari Kelantan juga berpeluang berkunjung ke Thailand untuk mempamerkan serta memasarkan produk halal keluaran tempatan di sana,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!