'Tak sangka kali ini dia keluar dan tak akan balik dah'

Nik Nur Atikah (kanan) yang ditenangkan ahli keluarga.
Nik Nur Atikah (kanan) yang ditenangkan ahli keluarga.
A
A
A

KOTA BHARU – Terserempak dengan anak sulung yang menaiki motosikal di tengah jalan pada petang Khamis menjadi detik terakhir seorang ibu melihatnya sebelum remaja itu ditemukan lemas di sungai Kampung Pulau Belacan, di sini pada Khamis.

Nik Nur Atikah Abdullah, 32, berkata, dia ternampak Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, yang keluar pada jam 5 petang bersama rakan-rakan namun tidak sempat bertegur sapa sebelum anaknya meneruskan perjalanan.

“Saya berselisih dengan dia di tengah jalan, tapi tak sempat tegur dan tak tahu pula dia ke sungai.

“Sebelum ini dia tak pernah ke sungai dan dia tak tahu berenang,” katanya kepada pemberita.

Jasad Muhammad Azim Danial ditemukan dalam keadaan tertiarap di dasar sungai pada kedalaman 4.57 meter anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa pada jam 8.12 malam.

Menurut Nik Nur Atikah, dia seperti biasa menantikan kepulangan anak sulung daripada tiga beradik itu, bagaimanapun terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan Muhammad Azim Danial lemas di sungai.

Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dengan harapan anaknya ditemukan dalam keadaan selamat namun reda apabila remaja itu ditemukan sudah meninggal dunia.

Nik Nur Atikah memberitahu, berdasarkan cerita seorang rakan arwah, Muhammad Azim Danial pergi ke bahagian tengah sungai walaupun sudah dilarang sebelum dilihat tenggelam timbul.

Rakannya sempat memegang badan mangsa ketika cuba menyelamatkan, tetapi terlepas.

Artikel Berkaitan:

“Setiap hari saya pesan supaya jangan keluar selepas pulang dari sekolah.

“Tak sangka kali ini dia keluar dan tak akan balik dah,” katanya sebak.

Lebih meruntun perasaan, Nik Nur Atikah berkata, anaknya juga tidak sempat bersalaman dengannya sebelum ke sekolah pada pagi itu, sesuatu yang lazim dilakukan sebelum ini.

“Biasanya, dia akan bersalam dengan saya sebelum pergi ke sekolah.

“Tapi, pagi tadi mungkin disebabkan sudah terlewat, dia tak sempat salam,” katanya.

Jenazah Azim dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemumin selepas selesai proses bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!