Pengerusi Bersatu Kelantan nafi dakwaan 'gagal' sebagai Exco

Kamarudin (tengah) semasa sidang akhbar di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Kamarudin (tengah) semasa sidang akhbar di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor menafikan beliau 'gagal' melaksanakan tugas sepanjang berkhidmat sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Menurut beliau, usaha membangunkan sektor pelancongan Kelantan memerlukan perancangan dan masa, sebelum hasilnya dapat dilihat, malah beberapa inisiatif yang dilaksanakan ketika menerajui portfolio itu kini mula menunjukkan perkembangan positif.

Jelas beliau, sepanjang dua tahun pertama memegang portfolio berkenaan, tumpuannya lebih diberikan kepada pembangunan dan promosi sektor pelancongan sebelum beralih kepada aspek kebudayaan pada tahun terakhir perkhidmatannya.

"Saya mengaku bahawa tumpuan saya dalam tempoh dua tahun pertama ialah kepada pelancongan.

"Sebab itu yang saya nak usulkan dulu, biar orang kenal dan kita promosi macam-macam," katanya menjawab tentang dakwaan warganet di media sosial yang mendakwa beliau 'gagal' sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri sepanjang memegang portfolio berkenaan.

Kamarudin memberitahu, antara perkembangan yang diketengahkan ialah penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta yang mencatatkan purata kadar muatan penumpang sebanyak 71 hingga 72 peratus bagi perjalanan pergi dan balik.

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan sambutan terhadap laluan berkenaan meskipun pada peringkat awal terdapat risiko sama ada penerbangan terus itu mampu mendapat jumlah penumpang mencukupi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AirAsia kerana mengambil risiko membuka laluan berkenaan hasil galakan dan usaha mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, ujarnya, sektor pelancongan kesihatan atau 'medical tourism' turut dikenal pasti sebagai antara potensi yang boleh dikembangkan bagi menarik kedatangan pelawat dari Indonesia, Brunei dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, Kelantan mempunyai tiga hospital swasta dengan kemudahan peralatan dan kepakaran setanding hospital terkenal di Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru serta Kuala Lumpur, namun kos rawatan dianggarkan 25 peratus lebih rendah.

"Kita ada tiga hospital yang standardnya setanding hospital di Pantai Barat dari segi peralatan dan kepakaran, tetapi harganya 25 peratus lebih murah.

"Jadi pasaran kita ialah Indonesia, Brunei dan Thailand supaya orang yang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur, sebaliknya boleh datang ke Kota Bharu," katanya.

Jelas beliau, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan beberapa hotel sekitar Kota Bharu bagi menyediakan diskaun kira-kira 25 peratus kepada pesakit dari luar Kelantan yang mendapatkan rawatan di negeri itu.

Mengulas mengenai jumlah kedatangan pelancong, kata beliau, Kelantan merekodkan 12.5 juta pelancong domestik seperti yang dimaklumkan dalam titah Sultan Kelantan sebelum ini, namun mengakui jumlah pelancong antarabangsa masih rendah.

Justeru, katanya, satu pelan khusus bagi menarik lebih ramai pelancong asing sudah disediakan dan kini berada di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Kamarudin, usaha menarik pelancong luar negara itu turut disokong kemudahan perhubungan yang semakin baik, termasuk kira-kira 40 penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu serta pembangunan rangkaian pengangkutan darat.

Beliau turut menyebut pembukaan laluan jalan raya yang menghubungkan Mempaga, Bentong, Pahang hingga ke Gua Musang sebagai perkembangan yang dijangka memudahkan perjalanan masuk ke Kelantan.

Dalam pada itu, Kamarudin meminta pemain industri pelancongan termasuk pengusaha hotel, pembekal makanan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga apabila jumlah kedatangan pelawat meningkat.

Katanya, kos sara hidup yang lebih rendah di Kelantan merupakan antara kelebihan negeri itu yang perlu dikekalkan bagi memastikan pelancong terus memilihnya sebagai destinasi kunjungan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!