Kedudukan Kamarudin sebagai Exco Kelantan diketahui esok

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menentukan kedudukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada Rabu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu akan dimaklumkan selepas mesyuarat Exco.
"Tunggu mesyuarat Exco esok," katanya ringkas ketika dihubungi pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, Kamarudin mengakui terdapat desas-desus kerajaan negeri mahu menamatkan perkhidmatannya sebagai Exco.
Bagaimanapun katanya, beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.
Kamarudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, berkhidmat sebagai Exco negeri sejak Ogos 2023.
Pada 8 Jun lalu, Pas mengumumkan keputusan untuk menamatkan semua kerjasama politik dengan Bersatu susulan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


