[VIDEO] Van sekolah operasi tanpa permit, insurans serta daif kaut untung RM10,000 sebulan

KOTA BHARU – Pemilik van persendirian dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM10,000 sebulan dengan mengendalikan perkhidmatan van sekolah secara haram tanpa permit dan perlindungan insurans, selain menggunakan kenderaan yang berada dalam keadaan daif sehingga boleh membahayakan keselamatan pelajar.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pengusaha terbabit turut didapati membawa pelajar secara berhimpit-himpit sehingga melebihi kapasiti yang dibenarkan.
"Lebih membimbangkan, sebahagian van persendirian yang digunakan berusia lebih 20 tahun, berada dalam keadaan daif dan tidak memenuhi syarat untuk dilesenkan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam.
"Kami mengesan lebih 1,000 van sekolah haram beroperasi di seluruh Kelantan dengan setiap kenderaan dipercayai mampu melakukan antara empat hingga lima perjalanan sehari," katanya pada sidang akhbar Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) dan Ops Patuh sempena Deepavali 2026 di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kegiatan itu melibatkan pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun yang membawa murid sekolah rendah dan menengah mengikut laluan masing-masing.
Katanya, terdapat pengusaha yang mengecat van dengan warna oren menyerupai van sekolah bagi mengelakkan pihak berkuasa mengesyaki kenderaan itu digunakan sebagai perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen.
"Lebih membimbangkan, mereka membawa murid melebihi kapasiti yang dibenarkan sehingga boleh mencecah 15 orang dalam satu masa.
"Mereka mengambil dan membawa penumpang tanpa mematuhi kapasiti tempat duduk yang dibenarkan," katanya.

Mohd Misuari berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan selama tiga bulan sebelum JPJ melaksanakan Ops KPPA di sekitar Kota Bharu pada 5 November lalu.
Menurutnya, operasi yang dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu menyasarkan pengusaha yang menggunakan van persendirian untuk membawa murid sekolah tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.
"Hasil operasi, sembilan van persendirian yang digunakan sebagai van sekolah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sebanyak 20 notis saman P22 turut dikeluarkan membabitkan 18 kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan dua kesalahan LKM tamat tempoh," katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan operasi tersebut merekodkan 29 tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diperiksa.
Tambahnya, penggunaan kenderaan tanpa insurans dan permit bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengundang risiko besar sekiranya berlaku kemalangan membabitkan pelajar sekolah.
Katanya, van yang berusia lebih 20 tahun juga berdepan masalah untuk mendapatkan kelulusan pelesenan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam.
"Kita bukan mahu menghukum atau mencari kesalahan, tetapi mendidik pengusaha supaya mendaftar dan mematuhi peraturan.
"Namun selepas tindakan serta amaran diberikan, kita tidak akan berkompromi sekiranya kesalahan yang sama terus dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

