Monsun Timur Laut: Kelantan catat rekod tertinggi, lebih 600 kawasan hotspot banjir

MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dijangka berterusan sehingga Mac 2027 dan berpotensi membawa hujan lebat berterusan. Foto hiasan
MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dijangka berterusan sehingga Mac 2027 dan berpotensi membawa hujan lebat berterusan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 263 kawasan cerun kritikal dan berisiko serta 31 hotspot tanah runtuh antara lokasi yang diberi perhatian sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan langkah pencegahan dan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"PDRM turut memberi keutamaan kepada pemantauan 3,045 kawasan hotspot banjir di seluruh negara sepanjang tempoh monsun berkenaan.

"Daripada jumlah tersebut, Kelantan merekodkan kawasan hotspot tertinggi iaitu sebanyak 609 kawasan, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dijangka berterusan sehingga Mac 2027 dan berpotensi membawa hujan lebat berterusan, banjir, tanah runtuh serta pelbagai risiko lain yang boleh menjejaskan kehidupan dan keselamatan masyarakat.

Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi atau hotspot.

Sehubungan itu, beliau yang juga Komander Operasi Bencana di peringkat pusat menegaskan persiapan rapi dan kesiapsiagaan menyeluruh amat penting bagi memastikan seluruh jentera pasukan berada pada tahap optimum sepanjang tempoh berkenaan.

"Pengurusan bencana merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat dan penyelarasan bersepadu antara pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, sama ada di peringkat Persekutuan, negeri mahupun daerah.

"Kerjasama strategik ini amat penting bagi memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan secara pantas, teratur dan berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, PDRM mengenal pasti kekuatan seramai 21,477 pegawai dan anggota serta 2,465 aset operasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MTL.

"Aset berkenaan merangkumi 656 bot, 1,788 aset darat dan 21 aset udara, dengan kekuatan sumber manusia serta logistik khususnya membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

"Persediaan itu bertujuan memastikan keupayaan mobilisasi, bantuan dan tindakan operasi dapat digerakkan dengan segera apabila diperlukan," katanya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa, khususnya berkaitan amaran cuaca serta keselamatan.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan sahih menerusi laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my, saluran media sosial rasmi MET Malaysia serta aplikasi myCuaca.

"PDRM komited untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang MTL ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!