X

Kindly register in order to view this article
!

'Sekali lalai, tiada kucupan terakhir orang tersayang'

Mohd Irman mengenakan persalinan PPE sepanjang menjalankan tugas di hospital.
A
A

PASIR MAS - "Saya dan rakan-rakan sentiasa berpegang dengan kata-kata sekali lalai, merana seumur hidup dan tiada kucupan terakhir daripada orang tersayang."

Demikian kata seorang kakitangan sokongan Hospital Kelaboran, Tumpat yang bertindak sebagai pemungut sisa klinikal di wad HIV dan batuk kering.

Mohd Irman Abdullah, 38, dari Kampung Pengkalan Batu di sini tanpa berselindung menyifatkan kerja-kerja menguruskan sisa-sisa klinikal yang turut melibatkan pesakit koronavirus (Covid-19) sebagai tugas yang cukup mencabar sepanjang sedekad bertugas dalam bidang berkenaan.

"Tugas itu perlu dilakukan dengan penuh cermat kerana kami turut berdepan risiko terkena jangkitan tersebut sekiranya lalai dalam menyempurnakan tugasan itu," katanya yang sentiasa mengenakan set peralatan perlindungan diri (PPE) setiap kali menguruskan sisa-sisa berkenaan, sekali gus berbeza ketika menguruskan HIV atau batuk kering.

Jelasnya, walaupun berdepan risiko, namun dia tetap bersemangat memikul amanah dalam kerja-kerja pengurusan sisa-sisa klinikal tersebut.

Setiap kali sampai di rumah, Mohd Irman perlu berada di luar rumah untuk seketika sebelum bertemu keluarga.
Setiap kali sampai di rumah, Mohd Irman perlu berada di luar rumah untuk seketika sebelum bertemu keluarga.

Mohd Irman berkata, minggu pertama menguruskan sisa klinikal pesakit Covid-19 disifatkan cukup mencabar apabila dia terpaksa memakai 28 set persalinan PPE dalam masa sehari sepanjang tugasan itu.

Namun ia bukanlah halangan buat dirinya biarpun penat dan berpanas sepanjang mengenakan persalinan tersebut.

"Setiap hari saya terpaksa keluar seawal jam 7 pagi dan pulang lewat malam sepanjang minggu pertama Covid-19, namun saya tetap reda kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Irman turut meluahkan rasa sedih apabila melihat masih ramai yang degil dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berharap masyarakat memahami tujuan PKP dilaksanakan dengan memberikan kerjasama demi memastikan rantaian Covid-19 berjaya diputuskan secepat mungkin.

"Saya dan rakan-rakan pun teringin berada di rumah sepertimana orang lain dan merasa selamat sepanjang bekerja.

"Jadi sama-samalah kita terus berada di rumah dan mendengar arahan pihak kerajaan," katanya.

Sementara itu, perkongsian Mohd Irman melalui status Facebooknya berkaitan kisah seorang anak yatim piatu yang melawan pandemik koronavirus (Covid-19) sebelum ini turut menarik perhatian ramai pihak sehingga menyentuh hati warganet.

Perkongsian Mohd Irman di Facebook yang dimuat naik pada 8 April lalu tular di media sosial.
Perkongsian Mohd Irman di Facebook yang dimuat naik pada 8 April lalu tular di media sosial.

Entri Mohd Irman yang dimuat naik pada 8 April itu kemudiannya tular apabila dikongsi oleh 251 orang selain mendapat 529 komen dan 1,700 tanda suka, sedih serta sayang dari pengguna laman sosial tersebut.

Mohd Irman tanpa berselindung mengakui, dia terkejut dan tidak menyangka status yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya itu tular sehingga menarik perhatian blogger terkemuka tanah air untuk berkongsi kisah tersebut.

"Saya sendiri tidak percaya bagaimana boleh menulis status itu dengan begitu baik. Hal ini kerana saya tidak pernah berbuat demikian dan tidak pandai bermain kata-kata.

"Perkongsian itu lebih kepada 'suara hati' saya selepas berbual dengan adik Ahlan yang sedang mendapatkan rawatan Covid-19," katanya.

Menurutnya, sebelum itu Ahlan yang merupakan pelajar Pondok Tahfiz Tapang, Kota Bharu telah mendapat rawatan selama 10 hari di Hospital Pasir Mas sebelum dipindahkan ke Hospital Kelaboran, Tumpat dan telah bebas dari penyakit itu.

"Saya tidak dapat bayangkan betapa kuatnya semangat Ahlan mengharungi ujian itu secara seorang diri, namun dia tetap berdepan ujian tersebut dengan jayanya dan hanya bertemankan al-Quran," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!