Gantung lesen memandu seumur hidup

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Rosli
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Hukuman terhadap pemandu lawan arus perlu diperketatkan lagi dengan mengenakan tindakan penggantungan lesen seumur hidup kepada mereka, meskipun kesalahan yang dilakukan adalah pertama kali.

Pakar keselamatan jalan raya, Dr Rosli Azad Khan berkata, hukuman itu adalah wajar memandangkan terdapat banyak kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kesalahan tersebut.

“Buat masa sekarang, terdapat tiga fasa hukuman kepada pemandu lawan arus ini. Sekiranya kesalahan yang dilakukan membuatkan dia cukup merit untuk dihukum, maka lesennya akan digantung selama enam bulan.

“Jika berulang untuk kali kedua, lesen digantung sehingga setahun sementara kali ketiga, lesen digantung secara terus.

“Selepas ini diharapkan ada rombakan bagi kesalahan memandu lawan arus ini iaitu gantung terus lesen memandu mereka meskipun baru pertama kali buat,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Rosli turut menambah, kesedaran daripada orang ramai juga perlu ada untuk memastikan tiada pemandu tidak bertanggungjawab dapat melakukan sewenang-wenangnya di atas jalan raya.

Ujarnya, terdapat sesetengah individu yang mengambil kesempatan untuk melanggar undang-undang semasa memandu.

“Dia beginilah, ramai saja orang tahu pasal kesalahan jalan raya ini. Cuma, kadang-kadang dia nampak tiada polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dia ambil peluang bawa laju-laju melebihi had.

“Jadi, benda ini juga memerlukan kerjasama pemandu jalan raya yang lain untuk memantau keadaan supaya tiada sebarang insiden berlaku.

“Saya juga pernah tegur seorang pemandu yang lakukan kesalahan. Kita tegur elok-elok, tak perlu marah,” kata beliau.