6 kedai makan kotor di Pasir Mas diarah tutup

Notis penutupan 14 hari yang ditampal pada kedai makan kotor. - Foto JKNK
Notis penutupan 14 hari yang ditampal pada kedai makan kotor. - Foto JKNK
A
A
A

KOTA BHARU - Enam kedai makan di daerah Pasir Mas diarah tutup selama 14 hari kerana kotor.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK) Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, arahan dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 06/2023 oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jabatan itu pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak 98 notis kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Pemeriksaan mengutamakan premis-premis sekitar Bandar Pasir Mas, Jalan Lemal-Lati, Jalan Lemal-Tendong dan Jalan Lati-Rantau Panjang memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai.

“Daripada 55 kedai makan dan restoran yang diperiksa oleh 74 kakitangan JKNK, enam didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan dan diarahkan tutup selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Makanan di dalam peti sejuk beku turut diperiksa tahap kebersihannya.
Makanan di dalam peti sejuk beku turut diperiksa tahap kebersihannya.

Ujar beliau, 98 notis kompaun pula antaranya merangkumi 72 kesalahan pakaian pengendali makanan, kesalahan kebersihan pengendali makanan dan dua berkaitan pemeriksaan perubatan serta keadaan kesihatan pengendali makanan.

“JKNK menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali premis makanan untuk memastikan bersih setiap masa.

“Mereka yang gagal menjaga kebersihan akan diberi bimbingan langkah pembetulan dan jika berulang, arahan penutupan premis akan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” kata Dr Zaini.

Tambahnya, pemilik premis yang tidak mematuhi perintah penutupan premis pula boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pemeriksaan kebersihan yang dilakukan oleh kakitangan JKNK. - Foto JKNK
Pemeriksaan kebersihan yang dilakukan oleh kakitangan JKNK. - Foto JKNK

“Saya menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke Pasir Mas atau seluruh negeri Kelantan, memilih premis yang bersih untuk makan.

“Sekiranya ada isu berkaitan keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah atau JKNK,” katanya.