Kerajaan Kedah pantau kebajikan keluarga tular

Kok Yew (tiga dari kanan) dan Ustaz Ebit (kiri) ketika berada di rumah usang dihuni Ishak sekeluarga di Lorong Gedebang sebelum keluarga itu dipindahkan semalam.
Kok Yew (tiga dari kanan) dan Ustaz Ebit (kiri) ketika berada di rumah usang dihuni Ishak sekeluarga di Lorong Gedebang sebelum keluarga itu dipindahkan semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan terus memantau kebajikan keluarga Ishak Darus bersama 27 ahli keluarganya yang tular kelmarin setelah keluarga itu dipindahkan ke Taman Uda semalam.

Exco Kedah, Tan Kok Yew berkata, antara aspek yang akan diberikan perhatian termasuk pendidikan cucu-cucunya yang keciciran dalam pelajaran.

Menurutnya, kebajikan lain juga akan diteliti termasuk aspek kerohanian dan minda agar keluarga itu bersedia dengan perubahan kehidupan baru mereka.

"Kita akan terus jalin kerjasama dengan Ustaz Ebit Lew yang berjaya memujuk keluarga itu berpindah ke rumah baharu.

"Kerajaan negeri ambil berat kes ini dan pastikan bantuan disalurkan kepada keluarga itu diteruskan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Saya akan bayarkan sewa selagi hidup: Ebit Lew

Kok Yew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga berkata, sejak kisah keluarga itu didedahkan pada tahun 2013, kebajikan keluarga itu tidak pernah diabaikan.

"Bantuan disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) termasuk dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Derga.

Bantuan makanan sebelum dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah terputus, disalurkan oleh beberapa pihak dan agensi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terbaharu, kerajaan negeri menemui keluarga itu Februari lalu untuk berbincang mengenai proses pindah rumah.

"Pada 2018, kerajaan negeri menawarkan dua buah rumah di Flat Seri Gemilang, Mergong kepada keluarga berkenaan, namun keluarga itu tetap enggan berpindah.

[ARTIKEL BERKAITAN] - 'Mereka penerima bantuan, pernah ditawarkan rumah'

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ustaz Ebit kerana dapat pujuk mereka pindah sebab sudah ramai pihak berbuat demikian namun gagal," katanya.

Kok Yew berharap perpindahan keluarga itu ke tempat baharu akan menjadi titik permulaan kehidupan baharu untuk keluarga itu.

"Buat masa ini, Ishak sedang menerima rawatan di hospital akibat strok," katanya.

Kisah keluarga itu sudah beberapa kali tular sejak 2013 dan difahamkan kesempitan hidup mereka didedahkan lebih 10 tahun lalu.

Terdahulu, seorang warga emas, Ishak Darus,77, bersama isterinya Jamaliah Rejab,58, selain 10 anak, seorang menantu dan 15 cucu tinggal di rumah usang di Lorong Gedebang kerana tidak mampu menyewa di tempat lain akibat kemiskinan.

Keluarga itu terpaksa duduk berhimpit dalam rumah yang lantainya beralaskan tikar getah selain dinding kayu reput dimakan anai-anai, malah sebahagian bumbung zinknya turut berlubang.

Semalam, Ustaz Ebit berjaya memujuk keluarga itu berpindah ke rumah baru di Taman Uda dan akan menanggung bayaran sewa rumah terbabit.