MAINPP tubuh Jawatankuasa Syariah Zakat perkukuh urus tadbir

Mohamad (tujuh dari kiri) menerima replika cek dari Pengarah Urusan Nasmir Holding, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak pada Majlis Citra Korporat dan Pelancaran Pusat Pendidikan Sheikh Abdul Fahim Negeri Pulau Pinang pada Selasa.
Mohamad (tujuh dari kiri) menerima replika cek dari Pengarah Urusan Nasmir Holding, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak pada Majlis Citra Korporat dan Pelancaran Pusat Pendidikan Sheikh Abdul Fahim Negeri Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menubuhkan Jawatankuasa Syariah Zakat bagi memperkukuh urus tadbir syariah termasuk memberikan panduan hukum berkaitan hal ehwal mikro operasi zakat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa tersebut telah dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat pada tahun lalu sebelum cadangan itu diangkat ke Mesyuarat Ahli Lembaga MAINPP dan mendapat persetujuan.

"Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memperkasakan urus tadbir syariah di peringkat pengurusan zakat.

"Sebarang perkara yang melibatkan hukum dan bersifat mikro operasi akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Syariah sebelum dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat.

"Bagi perkara dasar pula, ia kekal di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Citra Korporat dan Pelancaran Pusat Pendidikan Sheikh Abdul Fahim Negeri Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Mohamad berkata, sebelum ini semua isu hukum dirujuk terus kepada Jawatankuasa Fatwa, namun proses berkenaan mengambil masa khususnya bagi perkara kecil dan bersifat teknikal.

Katanya, dengan adanya Jawatankuasa Syariah ini, panduan hukum dapat diperoleh dengan lebih cepat, sekali gus membantu Lembaga Pengarah membuat keputusan yang lebih tepat dan berlandaskan syariah.

Mengulas mengenai keanggotaan jawatankuasa tersebut, Mohamad Abdul Hamid berkata, ia dianggotai enam ahli utama yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, undang-undang dan usuluddin termasuk penglibatan Mufti Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jawatankuasa itu berperanan sebagai badan penasihat yang memberi panduan hukum kepada Lembaga Pengarah.

"Langkah ini dijangka dapat memperteguhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dan tadbir urus zakat di Pulau Pinang," katanya.

Sementar itu, mengulas mengenai Majlis Citra Korporat yang diadakan, Mohamad berkata, ia merupakan sebuah platform strategik yang mempertemukan institusi zakat, para usahawan serta sektor korporat dalam usaha memperkukuh sinergi, memperluas kefahaman dan meningkatkan komitmen bersama terhadap tanggungjawab zakat perniagaan sebagai instrumen pembangunan ummah.

Dalam majlis tersebut, Zakat MAINPP berjaya mengumpul sumbangan zakat korporat berjumlah RM2.29 juta hasil penyertaan pelbagai syarikat terkemuka.

Antara penyumbang utama termasuk Nasmir Holding (PP) Sdn Bhd (RM516,000), AEO Freight Sdn Bhd (RM500,000), CIMB Islamic Bank Berhad (RM400,000), Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (RM246,100.54), Telekom Malaysia Berhad (RM230,536), ANGKASA (RM156,860.62), Agrobank (RM150,000) serta Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000).

ENDS.

Ringkasan AI

  • Zakat MAINPP menubuhkan Jawatankuasa Syariah Zakat untuk memperkukuh urus tadbir syariah
  • Jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk memperkasakan urus tadbir syariah di peringkat pengurusan zakat
  • Sebarang perkara mikro operasi zakat akan dirujuk kepada Jawatankuasa Syariah sebelum dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat
  • Keanggotaan jawatankuasa dianggotai oleh enam ahli utama dengan kepakaran dalam bidang syariah, undang-undang dan usuluddin termasuk Mufti Pulau Pinang
  • Zakat MAINPP berjaya mengumpul sumbangan zakat korporat berjumlah RM2.29 juta dalam Majlis Citra Korporat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!