Jika F1 kembali, sanggupkah nak penuhkan SIC?

MERAK Jalanan tumpang gembira melihat sambutan luar biasa yang diterima penganjuran Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang dari Jumaat hingga Ahad lalu. Walaupun hari pertama sedikit kelam-kabut dengan beberapa isu logistik dan pengurusan yang mencetuskan rungutan pengunjung, pujian harus diberikan kepada penganjur kerana pantas cari penyelesaian.
Menjelang Ahad, suasana sudah jauh berbeza. Aliran trafik lebih lancar, bas sudah ditambah, operasi di litar bertambah baik dan peminat dapat menikmati pengalaman perlumbaan dengan lebih selesa. Itulah yang sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara besar. Yang penting bukan tiada masalah, tetapi bagaimana masalah itu ditangani.
Kehadiran sekitar 261,000 pengunjung untuk tiga hari juga membuktikan tarikan sukan permotoran masih kuat di Malaysia. Tidak hairanlah ada yang mula berangan-angan mahu melihat Formula Satu (F1) kembali beraksi di Sepang.
Namun, membawa F1 pulang bukan sekadar membuka pintu litar dan menunggu kereta lumba tiba sahaja. Kos hak penganjuran, pemasaran, operasi dan pelbagai komitmen lain melibatkan perbelanjaan yang sangat besar.
Persoalannya, adakah sokongan yang dizahirkan hari ini akan benar-benar diterjemahkan kepada pembelian tiket jika F1 kembali atau adakah ia sekadar semangat bermusim yang hangat ketika isu itu diperkatakan?
Merak Jalanan masih ingat antara cabaran utama ketika F1 dianjurkan dahulu ialah jumlah penonton yang semakin menurun dari tahun ke tahun.
Sebab itu, sebelum bercakap soal bawa pulang F1, kita perlu jujur tanya diri sendiri. Adakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia mengeluarkan wang, sanggup meredah 'jem' untuk hadir menyokong?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
