Pantun ada adab, jangan sampai jadi biadab

ORANG Melayu cukup kaya dengan budi bahasa. Kalau mahu menegur atau menyindir sekali pun ada caranya. Sebab itulah pantun menjadi medium untuk menyampaikan maksud tersirat secara halus dan bersopan.
Merak Jalanan suka pantun. Selain menjadi warisan seni bahasa, pantun juga mencerminkan kebijaksanaan seseorang memilih kata.
Namun, apabila pantun dijadikan alat menyindir sehingga mencetuskan ketegangan, keindahan bahasa itu boleh hilang begitu sahaja.
Insiden pantun berunsur sindiran yang dilafazkan seorang Timbalan Menteri di Dewan Rakyat pada 16 November lalu wajar dijadikan pengajaran.
Pantun itu mencetuskan bantahan selepas penggunaan perkataan yang dianggap tidak sesuai dalam suasana persidangan.
Walaupun beliau menarik balik perkataan kurang manis itu selepas ditegur Timbalan Speaker, bahangnya tetap berlarutan hingga ke luar dewan.
Jangan kerana mahu menyampaikan sindiran, kita terlupa memilih perkataan sesuai. Apatah lagi di Dewan Rakyat, tempat wakil rakyat sepatutnya menunjukkan contoh perbahasan yang matang dan berhemah.
Kepetahan bercakap bukan ukuran kebijaksanaan jika tidak disertai adab. Begitu juga pantun, biarlah rangkapnya tajam dengan maksud tetapi tetap manis didengar dan tidak menjatuhkan maruah sesiapa.
Setiap kata-kata mempunyai kesan, lebih-lebih lagi apabila dilontarkan oleh seseorang yang memegang jawatan dan disegani. Mereka yang diberi amanah memimpin perlulah lebih cermat ketika berbicara.
Kalau benar-benar bijak berbahasa, biarlah orang mengingati kita kerana indahnya susunan kata, bukan kerana kontroversi yang tercetus daripadanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
