Lampu hijau Hospital Shah Alam pula menyala

Lampu hijau di Hospital Shah Alam dinyalakan sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Mohd Sobri kerana menderma organ
Lampu hijau di Hospital Shah Alam dinyalakan sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Mohd Sobri kerana menderma organ
A
A
A

SHAH ALAM - Disebalik kehilangan yang menyayat hati, keizinan dan keikhlasan keluarga untuk mendermakan organ milik Allahyarham Ahmad Sobri Ishak yang meninggal dunia akibat kemalangan bukan sahaja meninggalkan hadiah tidak ternilai tetapi turut memberi sinar harapan kepada insan lain.

Hospital Shah Alam melalui hantaran di Facebook berkongsi video suasana hiba apabila penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham menerusi upacara Walk of Honour sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mulianya itu.

Melalui video berdurasi satu minit 16 saat yang dimuat naik di laman media rasmi hospital berkenaan, petugas kesihatan berdiri memberikan penghormatan kepada Allahyarham ketika katilnya ditolak memasuki bilik pembedahan untuk proses mengambil organ.

"Proses perolehan organ ini telah berjaya dilaksanakan hasil dedikasi dan kerjasama erat pasukan perubatan HSAS bersama pasukan daripada Institut Jantung Negara (IJN), Pasukan Urologi Hospital Selayang, serta Pusat Sumber Transplan Nasional (NTC).

"Daripada sebuah kehilangan, hadir harapan baharu. Semoga ALLAH SWT merahmati roh Allahyarham, mengampuni segala dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh, serta menjadikan segala kebaikan ini sebagai amal jariah yang berpanjangan.

"Semoga seluruh keluarga yang ditinggalkan turut dikurniakan ketabahan dan kekuatan," menurut kenyataan Hospital Shah Alam pada Ahad.

Hantaran Facebook Hospital Shah Alam. Gambar kanan: Allahyarham Mohd Sobri
Hantaran Facebook Hospital Shah Alam. Gambar kanan: Allahyarham Mohd Sobri

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Najib Fazail yang dipercayai sahabat kepada Allahyarham Ahmad Sobri berkongsi kesedihan atas kehilangan sahabatnya itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kepulangan Allahyarham yang dikenali sejak lebih 20 tahun ke 'negeri abadi' itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

"Ditakdirkan hang pergi dulu tinggalkan kami. Message terakhir hang dalam group kita dengan tulisan 2014 dan disertakan gambar waktu hantar aku pergi Perancis untuk sambung belajar.

"Berehatlah sahabat di negeri abadi. ALLAH muliakan pemergian hang. Seluruh Malaysia dan dunia doakan hang. Moga pendermaan organ ni jadi pahala berkekalan buat hang. Syurga tempatmu sahabat," katanya.

Tambahnya, Sobri mengalami kemalangan di Shah Alam pada Khamis lalu dan terus di bawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Ujarnya lagi, Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan disahkan mati otak sehari selepas itu.

"Semalam (Sabtu) lampu hijau Hospital Shah Alam dinyalakan sebagai tanda penghargaan hospital kepada arwah kerana menderma organ," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!