Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara meninggal dunia

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad meninggal dunia pada usia 86 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat jangkitan paru-paru hari ini.

Adik bongsu Allahyarham, Zulkhairi Abd Samad berkata abangnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 4.20 petang.

"Arwah sudah beberapa tahun sakit paru-paru sebelum mengalami kerosakan injap jantung dan sering keluar masuk ke hospital.

"Semalam, secara tiba-tiba arwah tidak sedarkan diri dan doktor memberitahu kemungkinan ia berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-parunya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zulkhairi berkata jenazah kini berada di kediamannya di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat dan dijangka disolat serta dikebumikan di Gombak pagi esok.

Abdul Halim, yang berasal dari Kuantan, Pahang meninggalkan isteri, Iasah Ibrahim dan tiga anak.

Beliau dilantik sebagai Senator pada 3 Nov 2014 dan berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dari 18 April 2016 hingga 2 Nov 2020.

Abdul Halim pernah bertugas sebagai guru, setiausaha akhbar dan setiausaha sulit kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta merupakan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang pertama.

Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan KUB Malaysia Bhd dan terlibat dalam persatuan kebajikan masyarakat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!