Kejayaan anjur F1 bukti kerjasama erat Malaysia-Bahrain

KEJAYAAN menganjurkan Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam tempoh hanya dua bulan membuktikan kekuatan kerjasama Malaysia dan Bahrain dalam merealisasikan acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem berkata, sambutan luar biasa peminat terhadap perlumbaan itu menjadikan pencapaian berkenaan lebih bermakna meskipun persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat.
“Melihat sambutan luar biasa peminat, terutamanya dalam tempoh masa singkat untuk penganjuran acara ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan.
“Kejayaan ini juga menunjukkan kemahuan yang kuat antara Malaysia dan Bahrain untuk menjayakan GP yang unik ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Shaikh Salman Isa Al Khalifa pula berkata, acara itu berjaya membawa inti pati GP Bahrain ke Malaysia, selain memperkenalkan budaya dan hospitaliti negaranya kepada peminat sukan permotoran di rantau ini.
Beliau berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama kukuh antara BIC dan SIC serta sokongan Formula 1 (F1), FIA, Persekutuan Motor Bahrain dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).
“Hujung minggu lalu menjadi bukti kerjasama pasukan, dedikasi dan penyatuan dua negara sebagai detik bersejarah bagi F1,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, penganjuran berkenaan membuktikan hasil yang mampu dicapai apabila semua pihak berkongsi visi dan komitmen untuk menjayakan sesuatu matlamat.
Beliau berkata, BIC dan SIC bekerjasama rapat sejak dua bulan lalu dengan sokongan kerajaan serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan perlumbaan itu memenuhi standard acara bertaraf dunia dan meninggalkan kenangan bermakna kepada peminat.
“Pencapaian ini bukti kepada apa yang boleh disempurnakan apabila organisasi, komuniti dan rakan kongsi bersatu dengan visi yang sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
