Bekas anggota polis dakwa jadi mangsa kekerasan, tidak jadi saman Shuhaily

KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis tidak akan memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung dakwaan insiden kekerasan di Hilir Perak, 11 tahun lalu.
Peguam, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan saman sivil tidak dapat difailkan kerana terhalang oleh Seksyen 6 Akta Had Masa 1953, memandangkan insiden dikatakan berlaku itu, sudah melepasi tempoh enam tahun.
Bagaimanapun beliau berkata, anak guamnya selaku pengadu berharap laporan polis pada 2015 itu dapat diteliti, disiasat dan dipertimbangkan secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara (AG).
“Laporan berkenaan merupakan satu-satunya ruang dan peluang yang masih ada untuk anak guamnya mendapatkan keadilan.
“Pengadu menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa budi bicara dan kebijaksanaan AG untuk membuat tindakan seadil-adilnya,” katanya bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.
Pada 28 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang lagi bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily, ketika pegawai kanan itu bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak, pada 19 November 2015.
Kamal Hisham mendakwa, tiada tindakan dan memohon AG meneliti semula laporan terbabit.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Mohd Shuhaily mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap anak guamnya.
Beliau mempersoalkan tindakan seorang bekas anggota polis berkenaan, membangkitkan itu itu selepas sedekad berlalu.
Perkembangan itu menyusul selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu, berhubung dakwaan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.17 hingga 1.35 tengah hari pada 28 September.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal Hisham berkata, saman yang difailkan oleh dua anggota polis tersebut, berjaya diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily, pada 11 November lalu.
Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kehadiran pihak-pihak terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

