Fikir dahulu sebelum tekan butang kongsi

Telefon bimbit dijadikan medium untuk menyebarkan berita atau maklumat lebih pantas. - Gambar hiasan.
Telefon bimbit dijadikan medium untuk menyebarkan berita atau maklumat lebih pantas. - Gambar hiasan.
A
A
A

MERAK Jalanan perasan, sekarang ini kalau ada sesuatu kejadian berlaku, bukan main pantas orang keluarkan telefon bimbit. Belum tahu hujung pangkal cerita, video sudah tersebar ke sana sini.

Lebih hebat, ada yang terus buka live TikTok, dah macam wartawan TV pula gayanya, siap mengulas kejadian walaupun tak tahu cerita sebenar.

Tidak kiralah pergaduhan, kemalangan atau kontroversi melibatkan individu terkenal, semuanya boleh dijadikan bahan untuk tarik perhatian. Yang penting bagi mereka, jumlah tontonan naik, pengikut bertambah dan ruangan komen meriah. Soal betul atau salah, itu fikir kemudian.

Merak Jalanan hairan, sekarang ini cukup dengan video 30 saat, seseorang sudah boleh dijatuhkan hukuman oleh ribuan netizen. Kadangkala, cerita asalnya kecil sahaja. Tetapi selepas ditokok tambah, siap dengan ulasan dalam live TikTok, terus jadi isu negara. Apabila cerita sebenar terbongkar, senyap pula semuanya. Yang sibuk buat tuduhan sebelum ini hilang entah ke mana.

Merak Jalanan bukanlah mahu larang orang berkongsi cerita. Media sosial memang banyak manfaatnya, termasuk membantu sebar maklumat penting. Cuma janganlah terlalu ghairah kejar tontonan sampai terlupa hendak memeriksa kebenaran.

Kasihan juga kepada mereka yang jadi mangsa. Nama sudah tercalar, keluarga pula menanggung malu. Hendak membetulkan cerita bukannya mudah.

Merak Jalanan teringat pesan orang tua-tua, fikir dahulu sebelum bercakap. Zaman sekarang, kena tambah sedikit, fikir dahulu sebelum tekan butang kongsi.

Dalam dunia media sosial hari ini, semua orang mahu jadi yang pertama menyebarkan cerita tetapi kalau cerita itu salah, siapa pula yang mahu jadi orang pertama minta maaf?

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!