Ismail masih MB selagi belum diperkenan

Ismail Lasim
Ismail Lasim
A
A
A

DALAM sistem Raja Berperlembagaan, setiap proses peralihan kuasa perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, bukan semata-mata berdasarkan keputusan atau pengumuman politik.

Kemelut kepimpinan Negeri Sembilan yang membabitkan Datuk Ismail Lasim memperlihatkan betapa pentingnya prinsip tersebut dihormati, khususnya apabila peletakan jawatan seseorang Menteri Besar belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Walaupun Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan peletakan jawatan Ismail dan mengemukakan nama calon pengganti, hakikatnya beliau masih memegang jawatan Menteri Besar selagi proses berkenaan belum dimuktamadkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Justeru, tindakan Ismail meneruskan tugas rasmi termasuk menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab yang masih perlu dilaksanakan.

Dalam keadaan ini, pengumuman politik tidak seharusnya dianggap sebagai penamat automatik kepada mandat pentadbiran seseorang Menteri Besar.

Keputusan parti dan proses perlembagaan merupakan dua perkara berbeza yang perlu difahami oleh semua pihak, termasuk pemimpin politik sendiri.

Lebih penting, kedudukan Menteri Besar bukan sekadar jawatan politik yang boleh dikosongkan melalui kenyataan media. Ia merupakan institusi pentadbiran yang mempunyai tanggungjawab terhadap kelangsungan kepentingan rakyat.

Sebarang kekeliruan mengenai status kepimpinan berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran negeri, khususnya dalam urusan membuat keputusan. Tidak salah bagi parti politik merancang penggantian kepimpinan, namun langkah itu mestilah dilaksanakan dengan tertib tanpa menimbulkan persepsi bahawa politik mendahului proses perlembagaan.

Selagi perkenan terhadap peletakan jawatan belum diberikan, Ismail perlu terus menjalankan tugas, manakala semua pihak wajar mengelakkan tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, kestabilan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada siapa yang memegang kuasa, tetapi sejauh mana proses peralihan kepimpinan menghormati undang-undang, institusi dan amanah rakyat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!