Impian kanak-kanak jadi pegawai polis tercapai

PETALING JAYA - Impian seorang kanak-kanak untuk bergelar pegawai polis tercapai apabila berpeluang menaiki kenderaan polis sebenar dan mengikuti rondaan singkat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.
Hafiz Hilmy Mohd Nor yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit leukemia limfoblastik akut sebelum ini begitu meminati kereta polis, termasuk lampu berkelip dan bunyi siren yang sering dilihat serta didengarinya ketika berada di jalan raya.
Bapanya, Hilmy Mohd Nor Hamid, 45, berkata, minat Hafiz terhadap polis sudah lama disedari keluarga, terutama apabila kanak-kanak itu teruja setiap kali melihat kenderaan polis.
“Dia memang suka kereta polis dan polis. Kalau jumpa di jalan pun memang dia teruja, terutama kereta polis, uniform dan bunyi siren.
“Terutamanya kalau melihat anggota polis trafik, memang dia akan sangat teruja,” katanya ketika ditemui selepas diraikan dalam program yang dijalankan di IPD Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Menurut Hilmy, perjalanan rawatan Hafiz bermula sekitar Mac lalu selepas anaknya pada awalnya disyaki menghidap demam denggi sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia menghidap kanser darah.
Katanya, Hafiz menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras dan kini keadaan kesihatannya semakin baik selepas selesai menjalani kemoterapi.
“Doktor cakap keadaan Hafiz sudah semakin baik, cuma rawatan susulan masih berjalan.”
Hilmy berkata, dia sekeluarga sentiasa berada di sisi Hafiz sepanjang kanak-kanak itu menjalani rawatan.
Katanya, sebagai bapa, perkara utama yang dilakukan adalah bersabar dalam menghadapi cabaran ketika menjaga anak yang sedang mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, pengalaman istimewa Hafiz direalisasikan menerusi kerjasama Make-A-Wish Malaysia dan PDRM di IPD Petaling Jaya pada Khamis.
Selain menaiki kenderaan polis, kanak-kanak itu turut menyaksikan demonstrasi tabik hormat dan perbarisan sebelum diberi peluang mengikuti rondaan singkat dengan menaiki kereta polis sebenar.
Kemuncak pengalaman itu ialah apabila Hafiz menerima sebuah kereta polis bersaiz kanak-kanak yang boleh dipandunya sendiri.
Turut hadir dalam program itu ialah Penaung Diraja Make-A-Wish Malaysia, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan berkata, setiap hasrat yang direalisasikan memberi peluang kepada kanak-kanak yang berdepan penyakit kritikal untuk seketika melupakan cabaran akibat penyakit mereka dan menikmati detik kegembiraan.
Beliau berkata, minat Hafiz terhadap kereta polis akhirnya menghimpunkan PDRM, keluarga, sukarelawan dan penyokong untuk mencipta pengalaman istimewa buat kanak-kanak berkenaan.
“Harapan kami, pengalaman ini dapat membantu Hafiz dan keluarganya membina ketabahan ketika meneruskan rawatan perubatannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

