PKPP sedia tanah, PKPS bawa teknologi, modal

Sharifah Norjannah
Sharifah Norjannah
A
A
A

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) akan menyelaras penyediaan tanah berpotensi untuk dibangunkan, manakala Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyumbang teknologi, kepakaran dan modal menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua negeri.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKPP, Sharifah Norjannah Syed Agil berkata, kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu bertujuan memperkukuh hubungan antara kerajaan Pahang dan Selangor dalam pembangunan serta pemodenan sektor pertanian dan agromakanan.

Menurutnya, kerjasama itu turut memberi peluang kepada PKPP memanfaatkan kepakaran dan teknologi dimiliki PKPS bagi memaksimumkan penggunaan tanah yang berpotensi untuk aktiviti pertanian berimpak tinggi.

"Melalui kolaborasi ini, PKPP akan menyelaras penyediaan tanah yang berpotensi dan sesuai, manakala PKPS berkongsi teknologi, kepakaran serta modal bagi menjayakan pembangunan sektor pertanian.

"Kerjasama ini juga membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran dalam bidang pertanian daripada PKPS kepada PKPP, selain membantu memenuhi keperluan sekuriti makanan tempatan," katanya kepada Sinar Harian.

Sharifah Norjannah berkata, empat inisiatif utama dipersetujui menerusi MoU itu sebagai teras pelaksanaan kerjasama antara kedua-dua agensi berkenaan.

Katanya, inisiatif itu merangkumi pembangunan Model Padi Moden (Jelapang Padi Darul Makmur) di Pekan, pengoptimuman tanah bagi Hab Jagung Bijian untuk bekalan makanan ternakan serta Program Pertanian Komuniti Fertigasi (Shahzan Makmur).

"Program Pertanian Komuniti Fertigasi itu turut membabitkan golongan asnaf, belia dan B40, manakala satu lagi inisiatif ialah pembangunan agropelancongan serta agropreneur berkonsepkan Selangor Fruits Valley di Cameron Highlands dan Kuantan, Pahang," ujar beliau.

Mengulas lanjut, Sharifah Norjannah memaklumkan, kerjasama itu bermula susulan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengharapkan tanah di negeri itu dibangunkan menerusi aktiviti pertanian berimpak tinggi berbanding dibiarkan terbiar tanpa diusahakan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua agensi perlu menggembleng seluruh keupayaan bagi memastikan kerjasama ini mampu membawa industri pertanian ke tahap lebih membanggakan," tambah beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!