Hutan Simpan Bukit Cherakah bukan punca banjir - Jamaliah

Jamaliah (kanan) melepaskan anak ikan semasa Majlis Penutup Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.
Jamaliah (kanan) melepaskan anak ikan semasa Majlis Penutup Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM – Status Hutan Simpan Bukit Cherakah kekal terpelihara dan tidak terjejas sekali gus menepis dakwaan kawasan hutan itu menjadi punca kejadian banjir berulang di sekitar Puncak Alam termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan seluas 982.80 hektar diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sebagai hutan perlindungan serta habitat penting bagi pelbagai spesies flora dan fauna.

Menurutnya, sebahagian kawasan itu turut menempatkan Taman Botani Negara Shah Alam yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi Empangan Tasik Subang.

"Kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah merangkumi kawasan seluas 1,298.86 hektar dan mempunyai kepentingan dari aspek pemeliharaan alam sekitar serta sumber air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima di sini pada Ahad.

Jamaliah mengulas dakwaan yang mengaitkan penerokaan hutan di sekitar Puncak Alam, Puncak Perdana dan Paya Jaras sebagai antara punca kejadian banjir kerap melanda kawasan sekitarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius setiap dakwaan berkaitan isu alam sekitar dan akan menjalankan siasatan terperinci bersama agensi berkaitan.

"Kita biasanya memang akan siasat apabila ada dakwaan. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai maklumat tambahan pada masa ini dan kita akan merujuk semula kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk tindakan," ujar beliau.

Sementara itu, mengulas penganjuran Karnival Ban Canal, Jamaliah berkata, edisi kelima acara itu merekodkan kehadiran 34,000 pengunjung setakat ini berbanding 32,190 pengunjung pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak penganjur optimis sasaran 38,000 pengunjung mampu dicapai menjelang penghujung penganjuran tahun ini.

Beliau berkata, karnival itu bukan sahaja mendapat sambutan masyarakat tempatan, malah turut menarik kehadiran pelancong antarabangsa dari Korea, Jepun dan Afghanistan.

"Kehadiran pelancong luar negara ini sekali gus membantu memperkasakan sektor pelancongan serta menjana pertumbuhan ekonomi tempatan di Selangor," katanya.

Tambahnya, kelainan karnival itu yang menggabungkan elemen komuniti, kemasyarakatan, kebudayaan, sukan, agropelancongan dan pemeliharaan alam sekitar menjadi antara faktor tarikan pengunjung.

"Penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai reruai daripada agensi kerajaan, rakan strategik serta pengusaha tempatan yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan masing-masing," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!