IPD Petaling Jaya pindah operasi sementara mulai 1 Oktober

Shamsudin (kiri) pada Program Make A Wish Malaysia di IPD Petaling Jaya.
Shamsudin (kiri) pada Program Make A Wish Malaysia di IPD Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan berpindah ke lokasi operasi sementara di Bangunan SYM, Jalan Templer, Seksyen 51 di sini bermula 1 Oktober ini.

Perpindahan itu dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula kompleks IPD Petaling Jaya yang sudah berusia 68 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, bangunan sedia ada akan dirobohkan sepenuhnya selepas pihaknya menerima peruntukan kerajaan untuk pembinaan kompleks baharu.

Menurutnya, keseluruhan bangunan 12 tingkat di Bangunan SYM akan disewa untuk dijadikan pusat operasi sementara yang akan menempatkan lebih 800 pegawai dan anggota polis.

"Bagi memudahkan urusan orang awam, Balai Polis Petaling Jaya dan kaunter trafik akan ditempatkan di tingkat bawah bangunan tersebut.

"Mulai 1 Oktober ini, orang ramai dinasihatkan hadir ke Bangunan SYM bagi sebarang urusan berkaitan.

"Papan tanda 'IPD Petaling Jaya' juga akan dipasang di bangunan berwarna biru berkenaan bagi memudahkan orang awam mengenal pasti lokasi," katanya kepada media ketika ditemui pada Program Make A Wish Malaysia di IPD Petaling Jaya di sini, Khamis.

Shamsudin berkata, orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi dengan membuat carian 'IPD Petaling Jaya Seksyen 51' untuk mendapatkan panduan ke lokasi baharu itu.

Mengulas mengenai projek pembinaan semula kompleks IPD berkenaan, Shamsudin berkata, kerja berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan berdasarkan jadual yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kuarters polis sedia ada turut akan dikosongkan bagi melancarkan proses pembinaan.

"Anggota polis yang menetap di kuarters berkenaan telah mula berpindah secara berperingkat dan keseluruhan proses pengosongan dijangka selesai sepenuhnya pada 31 Disember depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!