Panglima 11 Briged dahului senarai 19 penerima darjah kebesaran Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ kepada Panglima 11 Briged Brigedier Jeneral Datuk Safwan @ Asri Ismail (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda di Balairung Seri Istana Alam Shah, pada Sabtu. Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ kepada Panglima 11 Briged Brigedier Jeneral Datuk Safwan @ Asri Ismail (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda di Balairung Seri Istana Alam Shah, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Panglima 11 Briged Brigedier Jeneral Datuk Safwan @ Asri Ismail mendahului senarai 19 penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu.

Berangkat sama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Istiadat turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan exco kerajaan negeri.

Safwan dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ kepada penerima lelaki dan Datin Paduka kepada penerima wanita sementara isteri ahli lelaki menggunakan gelaran Datin.

Darjah D.P.M.S turut dikurniakan kepada Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar, Ketua Pengarah Hidrografi Pusat Hidrografi Nasional Laksamana Muda Dr Najhan Md Said, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mareena Mahpudz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) SD Guthrie Berhad Mohd Haris Mohd Arshad, Penasihat Undang-Undang YTL Corporation Berhad Datin Seri Kathleen Chew Wai Lin serta Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Limited Anthony Tan Ping Yeow.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi, Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor Shukri Ishak, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Prof Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim antara yang mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Dato'-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S).

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, Presiden Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Kewangan Malaysian Resources Corp Bhd Ann Wan Tee.

D.S.I.S membawa gelaran Dato' kepada penerima lelaki dan Datin Paduka kepada penerima wanita. Isteri ahli lelaki menggunakan gelaran Datin pada pangkal namanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor dikurniakan kepada Pegawai Memerintah Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Anwar Saaharatol Mat Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia N E Stella Jeevamani.

Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) pula dikurniakan kepada Ketua Perisikan Siber Malaysia Defense Intelligence Organisation Kol Mohd Azlizam Haji Uda.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia yang dikurniakan S.I.S ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Leftenan Kolonel Dr Wong Wai Loong serta Pegawai Staf 1 Pangkalan Data Kementerian Pertahanan Malaysia Leftenan Kolonel Mohd Khairi Mohd Yussoff.

Istiadat pada Sabtu turut menyaksikan Istiadat Menjunjung Duli dan Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor yang kembali selepas meninggalkan Selangor selama tujuh hari selepas Pemasyhuran Gelaran.

Dua individu yang sebelum ini dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana ialah Raja Datuk Reza Alhaj Raja Zaib Shah Alhaj dengan gelaran Engku Sri Paduka Diraja dan Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj dengan gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja.

Yang turut dimasyhurkan ialah Datuk Dr Aljafri Abdul Majid sebagai Dato’ Diraja Selangor dengan gelaran Dato' Sri Maharaja Diraja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!