Kanak-kanak kerap 'berkhayal' mungkin petanda sawan absens

Ibu bapa dan guru disaran tidak menganggap remeh keadaan kanak-kanak yang kerap 'termenung' atau 'berkhayal'. Foto hiasan
Ibu bapa dan guru disaran tidak menganggap remeh keadaan kanak-kanak yang kerap 'termenung' atau 'berkhayal'. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dan guru disaran tidak menganggap remeh keadaan kanak-kanak yang kerap 'termenung' atau 'berkhayal' seperti kurang memberikan perhatian kerana ini mungkin petanda sawan absens, iaitu sejenis epilepsi ringan yang sukar dikesan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tan Jen Ern berkata, sawan absens kebanyakannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, dengan kemuncak pada usia enam hingga tujuh tahun ketika otak sedang melalui fasa perkembangan penting.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak hilang kesedaran secara tiba-tiba selama lima hingga 15 saat, tanpa kanak-kanak terjatuh atau mengalami kekejangan, iaitu berbeza dengan jenis sawan yang lazim berlaku.

"Keadaan berkhayal biasanya boleh dihentikan dengan memanggil nama kanak-kanak dengan kuat atau menyentuh mereka. Bagi sawan absens pula, ia berlaku secara rawak pada bila-bila masa dan kanak-kanak tidak akan memberikan tindak balas terhadap rangsangan dari luar,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di SMCV di sini baru-baru ini.

Dr Jen Ern berkata, keadaan berkenaan boleh berlaku hingga 100 kali sehari, sekali gus berpotensi menjejaskan pembelajaran dan prestasi akademik walaupun setiap kali ia terjadi hanya beberapa saat.

"Sebagai contoh, jika guru sedang menerangkan sesuatu konsep selama satu minit, dan kanak-kanak itu tidak sedar selama 10 hingga 15 saat, mereka mungkin terlepas maklumat penting yang diperlukan untuk memahami pelajaran,” katanya.

Dr Jen Ern berkata, sesetengah kanak-kanak juga mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti mengerdipkan mata, menjatuhkan barang atau melakukan perbuatan berulang seperti mengunyah atau menggosok jari, terutama untuk tempoh yang lebih lama.

Mengenai faktor risiko, beliau berkata, keadaan itu lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan berbanding lelaki, dengan nisbah kira-kira dua berbanding satu, dan satu hipotesis menyatakan hormon wanita mungkin menyebabkan kanak-kanak perempuan lebih mudah mengalami sawan.

Beliau berkata, sehingga 30 peratus kanak-kanak yang mengalami sawan absans mempunyai sejarah keluarga yang menghidap epilepsi, termasuk sawan absens atau jenis epilepsi lain.

Artikel Berkaitan:

Dr Jen Ern berkata, diagnosis absens dalam kalangan kanak-kanak lazimnya pakar akan menilai sejarah perubatan dan pemeriksaan elektroensefalogram (EEG) untuk mengesan sebarang aktiviti elektrik tidak normal dalam otak.

EEG ialah prosedur mudah yang menggunakan sensor untuk mengesan aktiviti otak. Sawan absens menunjukkan corak gelombang otak yang tidak normal, manakala hiperventilasi boleh dilakukan untuk mencetuskan perubahan pada aktiviti otak sekiranya perubahan itu tidak dapat dikesan pada pemeriksaan awal.

Dr Jen Ern menasihatkan ibu bapa membuat persediaan sebelum bertemu pakar neurologi pediatrik, dengan membawa maklumat penting seperti catatan kekerapan dan kejadian sawan, rakaman video, nota daripada guru serta maklumat mengenai sejarah perubatan keluarga.

Ubat antisawan digunakan untuk merawat dan tindak balas terhadap rawatan lazimnya mengambil masa beberapa hari sehingga beberapa minggu.

Maka, adalah penting untuk mematuhi arahan pengambilan ubat dan nasihat perubatan selain dan pemantauan berterusan untuk memastikan sawan dapat dikawal sepenuhnya.

Dr Jen Ern melahirkan kebimbangan terhadap salah faham yang masih wujud bahawa kanak-kanak berkenaan malas, tidak menumpukan perhatian atau mudah terganggu, sehingga menyebabkan keadaan mereka lambat dikenal pasti dan didiagnosis.

"Pengesanan awal adalah penting. Apabila kanak-kanak kerap mengalami episod termenung atau hilang kesedaran tanpa memberikan tindak balas, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat perubatan dengan segera.

"Keadaan ini boleh dirawat dan rawatan dapat membantu memulihkan fungsi pembelajaran dan kognitif, selain memastikan keselamatan mereka,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!