Tiada petugas Wilayah Sahabat FGV positif Covid-19

FGV
FGV
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd (FGV) hari ini mengesahkan bahawa tiada petugas yang berada di Wilayah Sahabat, Lahad Datu di Sabah positif koronavirus (Covid-19).

FGV dalam kenyataannya memaklumkan, sejak penularan wabak itu, satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Covid-19 ditubuhkan syarikat itu bagi melaksanakan langkah pencegahan di seluruh operasinya.

“Dengan pengumuman terkini daerah Lahad Datu sebagai kawasan zon merah, FGV telah mengambil beberapa langkah proaktif di Wilayah Sahabat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM). Semua pergerakan dalam operasi Wilayah Sahabat FGV dikawal dan dipantau dengan ketat.

"FGV bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dan telah menggunakan pasukan Polis Bantuan FGV untuk memastikan pematuhan ketat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan negeri," kata kenyataan itu hari ini.

FGV berkata, Wilayah Sahabat FGV mempunyai kawasan seluas 115,432 hektar ladang yang terdiri daripada tujuh kilang dan 48 estet.

“FGV secara sukarela menghentikan operasi lima kilang di kawasan itu. Dua daripada lima kilang itu, empat petugas telah dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI). Tiga kilang lain juga telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana berdekatan dengan operasi Felda yang terjejas,” katanya.

FGV akan memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan dan dengan segera menasihati petugas serta anggota keluarga mereka untuk menjalani ujian sekiranya mereka kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 dalam masa 14 hari lalu di Wilayah Sahabat.

"FGV memberikan komitmen penuh menyokong usaha kerajaan Sabah untuk mencegah wabak itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang radikal dan tegas di semua ladang serta kilang untuk memastikan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan semua petugas berada pada tahap minimum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas syarikat itu, keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan petugas serta pekerjanya adalah perkara paling utama selain terus waspada dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.