Berjuang keluar kemiskinan

Penerima bantuan PPZ-MAIWP, Cik Siah bangkit teruskan hidup, zakat bantu keluarganya ketika berada di titik terendah

CIK SIAH (kanan) melayan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta.
CIK SIAH (kanan) melayan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta.
A
A
A

"SAYA diibaratkan orang hampir lemas yang diselamatkan.”

Begitulah ungkapan bekas penerima zakat Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Cik Siah Awang, 52, ketika mengimbau pengalaman beliau dan keluarganya melalui detik sukar sebelum berjaya bangkit daripada kemiskinan.

Suaminya, Mohd Nizam Johari, 57, menghidap penyakit buah pinggang sejak 15 tahun lalu dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.

Selama tiga tahun, Cik Siah menanggung sendiri kos rawatan suaminya yang ketika itu mencecah RM5,000 sebulan.

“Ketika itu saya bekerja dalam industri minyak dan gas, tetapi terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang semakin uzur.

“Dalam masa sama, saya cuba meneruskan perniagaan restoran suami. Namun disebabkan kurang ilmu, perniagaan itu tidak berjaya dan akhirnya terpaksa ditutup,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

CIK SIAH
CIK SIAH

Berkorban apa saja

Artikel Berkaitan:

Keadaan menjadi semakin sukar sehingga beliau terpaksa menjual rumah dan kereta, selain terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam kesibukan mencari rezeki dan menjaga suami yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, Cik Siah turut menjaga adik suaminya yang menghidap penyakit mental.

“Kadang-kadang saya hanya tidur dua jam sehari. Saya berniaga secara dalam talian, menjaga suami, membawa dia ke hospital dan dalam masa sama menguruskan keluarga.

“Pada ketika itu, tempat dialisis pula sejauh 28 kilometer dari rumah dan suami perlu dibawa ke sana tiga kali seminggu. ALLAH sahaja yang tahu penatnya,” katanya.

Terima bantuan zakat MAIWP

Keadaan mula berubah selepas seorang jiran mencadangkan beliau mendapatkan bantuan zakat. Dengan ditemani jirannya, Cik Siah pergi ke Baitulmal dan membuat permohonan buat pertama kali.

MAIWP kemudiannya membantu membiayai rawatan dialisis suaminya sehingga ke akhir hayatnya yang meninggal dunia pada Jun lalu.

Bantuan turut meliputi keperluan perubatan seperti lampin pakai buang dan kelengkapan rawatan lain.

Selain bantuan perubatan, Cik Siah turut menerima bantuan modal perniagaan RM3,000 dan mengikuti kursus keusahawanan anjuran MAIWP.

Bermula dari rumah, beliau menjual pelbagai kuih-muih dan makanan tradisional seperti ketupat dan nasi ayam serta makanan lain secara dalam talian.

CIK SIAH (dua dari kanan) menerima Anugerah Ikon Usahawan Baitulmal MAIWP pada 2021.
CIK SIAH (dua dari kanan) menerima Anugerah Ikon Usahawan Baitulmal MAIWP pada 2021.

“Sedikit demi sedikit perniagaan berkembang. Saya belajar, susun semula strategi dan akhirnya berjaya mendapatkan lesen serta pensijilan berkaitan keselamatan makanan sebelum berjaya membekalkan produk kepada jabatan kerajaan,” katanya.

Hasil usaha itu, Cik Siah menerima Anugerah Ikon Usahawan Baitulmal MAIWP pada 2021 selain beberapa pengiktirafan daripada agensi lain termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, RHB Bank dan SME Corp.

Lebih membanggakan, beliau kini turut dipanggil menyampaikan ceramah dan bimbingan kepada usahawan baharu di pelbagai agensi termasuk di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mula bayar zakat

Katanya, sejak 2023, beliau mula membayar zakat pendapatan walaupun hanya RM10 sebulan. Jumlah itu meningkat sedikit demi sedikit sehingga kini mampu membayar zakat sehingga empat angka setahun.

“Walaupun penat mencari rezeki dan menjaga suami, saya percaya rezeki sentiasa cukup. Anak-anak juga banyak membantu dan memahami keadaan keluarga.

“Saya tidak mahu kemiskinan diwarisi kepada anak-anak. Pendidikan penting untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak,” katanya.

Kemiskinan bukan untuk diwarisi

Mengulas mengenai kemiskinan yang ditanggung keluarga Cik Siah itu, beliau menjelaskan, pelbagai kesusahan yang dilalui dalam kehidupan itu bukanlan sesuatu yang akan diwariskan kepada anak-anaknya.

CIK SIAH pasti menemani suaminya ketika menerima rawatan dialisis dan rawatan sakit lain di hospital.
CIK SIAH pasti menemani suaminya ketika menerima rawatan dialisis dan rawatan sakit lain di hospital.

Baginya, bantuan zakat bukan sekadar membantu memenuhi keperluan harian dan rawatan suami, bahkan turut membuka semula peluang pendidikan buat anak-anaknya.

Beliau percaya pendidikan ialah jalan paling berkesan untuk memutuskan kitaran kemiskinan.

"Saya tidak mahu kemiskinan diwarisi kepada anak-anak. Selepas keadaan kembali stabil, anak sulung menyambung semula pengajian di politeknik.

“Anak-anak lain pula berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kolej Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal,” ujarnya.

Pesannya kepada golongan asnaf, mereka perlu bermuhasabah dan berusaha mencari jalan keluar daripada kemiskinan.

“Berusahalah bersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada ALLAH SWT. Jangan lupa bayar zakat apabila sudah mampu. “Didik anak-anak dengan pendidikan. Ibu bapa perlu menjadi contoh kerana kemiskinan bukan untuk diwarisi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!