'Papa, kami akan mati' - Bapa ditahan campak dua anak dalam terusan

MAHARASHTRA - Satu kejadian tragis mengundang kemarahan penduduk di daerah Chhatrapati Sambhajinagar, India apabila seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa mencampakkan dua anak lelakinya ke dalam terusan atau tali air pada Isnin lalu.
Kedua-dua mangsa iaitu Aryan, 7, dan Shyam, 5, masih belum ditemukan pasukan penyelamat dalam operasi pencarian secara intensif di kawasan terusan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa dari Balai Polis Pachod, suspek, Somnath Damodar Rodge didakwa membawa kedua-dua anaknya menaiki skuter pada petang hari kejadian kononnya mahu membelikan coklat dan vada pav, sejenis makanan ringan popular di India.
"Mempercayai kata-kata bapa mereka, kedua-dua kanak-kanak itu mengikutnya tanpa mengesyaki sebarang bahaya.
"Bagaimanapun, Rodge didakwa tidak membawa mereka ke kedai makan berhampiran, sebaliknya menuju ke kawasan terpencil di sepanjang terusan di bandar Paithan.
"Setibanya di lokasi, lelaki itu mencampakkan kedua-dua anaknya ke dalam terusan yang dalam," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Polis turut menambah, dua beradik itu menyedari apa yang berlaku dan menangis ketakutan sambil merayu agar bapa mereka tidak meneruskan perbuatan berkenaan.
“Mereka merayu 'Papa, kami akan mati, tolong jangan buat begini'.
"Tapi rayuan itu tidak diendahkan dan suspek dipercayai tetap ingin mencampakkan anak-anaknya," ujar polis.
Kejadian mengerikan itu disaksikan sekumpulan petani yang sedang bekerja di kawasan ladang berhampiran.
Mereka segera bergegas ke arah terusan untuk menghalang perbuatan tersebut dan menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, Rodge didakwa bertindak ganas terhadap individu yang ingin membantu dengan membaling batu serta menghamburkan kata-kata kesat.
Menyedari keseriusan kejadian itu, kumpulan petani terbabit segera menghubungi pihak berkuasa.
Hasil soal siasat, polis mengesahkan lelaki berusia 40 tahun itu mengaku mencampakkan kedua-dua anaknya ke dalam terusan.
Bagaimanapun, motif sebenar yang mendorong suspek melakukan perbuatan tersebut masih belum didedahkan.
Siasatan lanjut termasuk latar belakang serta keadaan keluarga lelaki berkenaan sedang dijalankan.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua beradik itu dilancarkan pada malam Isnin.
Walaupun pencarian diteruskan selama beberapa jam sehingga Selasa, kedua-duanya masih belum ditemukan.
Kejadian berkenaan mencetuskan kesedihan dan kemarahan dalam kalangan penduduk Paithan serta kampung berhampiran.
Penduduk turut berkumpul di sepanjang tebing terusan ketika pasukan penyelam meneruskan usaha mencari dan menemukan kedua-dua beradik yang hilang itu. - AGENSI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
