Apabila healing jadi 'agama baharu'

A
A
A

KITA hidup dalam zaman yang serba pantas, namun ramai yang semakin penat akibat tekanan kerja bertambah, kos hidup meningkat, hubungan menjadi rapuh dan media sosial yang membuatkan kehidupan orang lain kelihatan lebih baik.

Dalam suasana inilah perkataan healing menjadi dekat dengan masyarakat. Penat bekerja, mahu healing atau putus hubungan, mahu healing. Ada yang bercuti, bersukan, mendapatkan kaunseling atau berehat daripada rutin. Semua itu boleh menjadi bentuk penjagaan diri yang baik.

Namun, budaya healing hari ini turut membawa istilah seperti energi, manifestasi, getaran, semesta, frekuensi dan aura.

Persoalannya, adakah ia sekadar usaha menenangkan emosi atau sudah menyentuh cara memahami Tuhan, alam dan takdir? Mengapa ia mudah diterima?

Ramai tertarik kepada idea sebegini bukan kerana mahu meninggalkan agama, tetapi kerana sedang mencari ketenangan. Ada yang takut kehilangan kerja, dibebani hutang atau kecewa dalam hubungan.

Dalam keadaan tertekan, ungkapan seperti ‘fikiran mencipta realiti’ dan ‘semesta memberi apa yang kita tarik’ kedengaran melegakan kerana memberikan rasa bahawa kehidupan masih boleh dikawal.

Namun, rasa tenang tidak semestinya membuktikan sesuatu kepercayaan itu benar. Pengalaman peribadi sering dijadikan ukuran. Ada yang mendakwa hidup berubah selepas mengamalkan sesuatu teknik atau kepercayaan.

Pengalaman itu mungkin benar, tetapi tidak semestinya membuktikan dakwaan di sebaliknya. Berjalan di tepi pantai, bersenam, melakukan teknik pernafasan dan mendapatkan kaunseling boleh membantu emosi.

Namun, dakwaan bahawa batu tertentu mempunyai tenaga ghaib atau fikiran mampu menarik rezeki melalui frekuensi alam semesta merupakan perkara berbeza. Perasaan tenang ialah pengalaman, manakala dakwaan tentang kuasa ghaib melibatkan kepercayaan perlu dinilai dengan teliti.

Artikel Berkaitan:

Antara usaha dan pergantungan

Islam mengajar manusia supaya berusaha. Kita bekerja untuk mendapatkan pendapatan, belajar untuk berjaya dan mengambil ubat ketika sakit. Namun, ia tidak mempunyai kuasa mutlak. Adakalanya hasil usaha tidak sentiasa seperti yang dirancang.

Di sinilah tauhid memberikan keseimbangan. Manusia dituntut berusaha, tetapi menyedari bahawa segala hasil tetap berada dalam ilmu dan ketentuan ALLAH SWT.

Berfikiran positif, menetapkan matlamat dan membina disiplin bukanlah sesuatu yang salah. Persoalan timbul apabila motivasi mendakwa fikiran mampu menarik kekayaan atau pasangan melalui tenaga alam semesta.

Ia bukan lagi sekadar nasihat psikologi, sebaliknya dakwaan tentang cara alam berfungsi.

Masyarakat perlu celik akidah dengan memahami maksud istilah yang digunakan. Adakah ‘semesta memberi’ sekadar bahasa kiasan atau kepercayaan kepada kuasa selain ALLAH? Adakah ‘menarik rezeki’ merujuk kepada usaha atau kuasa tertentu?

Bahasa yang diulang-ulang boleh membentuk pemikiran. Lama-kelamaan, idea di sebalik istilah yang kelihatan biasa mungkin diterima tanpa dipersoalkan.

Oleh sebab itu pendidikan akidah perlu membantu masyarakat menilai pemikiran, bukan sekadar mengenal pasti perkara yang salah dan betul.

Jangan campur semua

Dalam menjaga akidah, kita perlu berlaku adil. Tidak semua perkara berkaitan healing, terapi, teknik pernafasan atau penjagaan emosi menjadi masalah akidah.

Kesihatan mental bersifat kompleks. Ada yang memerlukan sokongan keluarga, kaunseling dan rawatan profesional. Seseorang boleh berdoa sambil mendapatkan terapi, berzikir sambil mengambil ubat dan bertawakal sambil mengurus kewangan dengan serius.

Semua itu tidak bercanggah. Perkara yang perlu dijaga ialah bentuk kepercayaan dan tempat pergantungan hati. Budaya healing turut menggambarkan keresahan masyarakat.

Di sebalik bahasa tentang energi dan manifestasi, ada yang takut akan masa depan, kecewa kerana hubungan gagal atau berasa diri tidak cukup baik.

Oleh itu, respons agama tidak memadai dengan sekadar mengatakan sesuatu itu salah. Kita juga perlu memahami mengapa masyarakat tertarik kepadanya. Ada kalanya mereka bukan mencari ajaran baharu, sebaliknya hanya mahukan ketenangan.

Tauhid beri keseimbangan

Tauhid mengajar bahawa manusia perlu berusaha tanpa menganggap dirinya menguasai semua hasil. Kita boleh merancang, menjaga kesihatan dan menyayangi seseorang, tetapi tidak mampu mengawal seluruh perjalanan hidup.

Ada perkara yang perlu diperbaiki, luka yang perlu dirawat, kegagalan yang perlu diterima dan urusan yang akhirnya diserahkan kepada ALLAH SWT.

Mungkin inilah makna healing yang lebih matang iaitu berusaha sebaik mungkin, mendapatkan bantuan apabila perlu dan menerima bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan kita.

Tauhid membantu manusia berusaha tanpa merasa berkuasa atas segala-galanya, selain menerima ujian tanpa kehilangan harapan.

Tidak semua yang membuat kita tenang itu benar. Namun, ketenangan yang dibina atas ilmu, usaha dan pergantungan kepada ALLAH SWT lebih kukuh daripada kepercayaan bahawa fikiran mampu menentukan seluruh perjalanan hidup. 

***MOHD SHAIRAWI MOHD NOOR merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan PROFESOR MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!