'Saya dipukul, diarah berbogel semasa direman' - Isteri bekas pegawai ESSCOM menangis ketika beri keterangan di mahkamah

TAWAU - Tangisan isteri kepada bekas pegawai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) ketika menceritakan dakwaan bahawa dirinya diarahkan berbogel, dipukul dan ditampar sepanjang tempoh tahanan reman mencetuskan suasana sebak semasa prosiding saman sivil RM190 juta berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.
Vivien Fabian, 38, yang merupakan satu-satunya plaintif awam dalam saman berkenaan bersama enam bekas pegawai dan anggota perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), menangis ketika memberikan keterangan di kandang saksi.
Keterangannya turut menyentuh perasaan peguam dan orang awam yang hadir apabila beliau mendakwa anak-anaknya dibawa untuk dilihat melalui cermin gelap sebagai tekanan supaya mengaku terbabit dalam kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, tiga tahun lalu.
Vivien mendakwa kejadian itu berlaku ketika beliau disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kehadiran dua pegawai polis, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki berketurunan India.
Dakwanya, pegawai wanita berkenaan kemudian mengarahkannya menanggalkan pakaiannya.
"Pada mulanya saya diminta mengaku dan dipaksa berada di tempat kejadian yang dimana kes pembunuhan berlaku di ladang kelapa sawit, tapi saya tidak mahu kerana saya memang tidak terbabit dalam kes pembunuhan mangsa.
"Sepanjang reman, saya diugut, dipaksa dan mereka (pihak polis) menggunakan anak-anak saya dan memberi saya peluang melihat anak saya dari cermin gelap dan saya tahu mereka membawa anak-anak untuk memberi tekanan kepada saya.
"Saya kemudian dibawa bertemu suami saya (John Kennedy Anak Sanggah) di bilik soal siasat dan saya tengok ada kertas putih yang terletak di atas meja, mereka mahu saya menghafal apa yang ada dalam kertas berkenaan.
"Saya tidak mahu mengikut arahan kerana saya tahu apa yang ada dalam kertas itu ialah bahawasanya saya dan juga rakan-rakan (plaintif) yang lain berada di tempat kejadian iaitu untuk membunuh Nurman Bakaratu.
"Saya membuka baju saya satu persatu sampailah saya bogel habis dan saya diarahkan mencangkung sambil menghadap ke arah dinding," katanya.
Vivien berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan peguamnya, Datuk Ram Singh, dalam pemeriksaan utama berhubung dakwaan beliau diarahkan berbogel semasa dalam tahanan reman.
Beliau menjelaskan bahawa dirinya tidak membantah arahan menanggalkan pakaian kerana takut dan tidak mengetahui tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya sekiranya ingkar.
Malah, beliau tidak pasti sama ada pegawai polis lelaki berkenaan masih berada di dalam bilik ketika itu memandangkan beliau diarahkan menghadap ke arah dinding.
Vivien turut mendakwa pegawai lelaki terbabit menutup matanya menggunakan pelitup muka sebelum menampar bahagian telinganya dengan kedua-dua belah tangan.
"Selepas itu, pegawai wanita itu kemudian mengarahkan saya menghadap ke arah pintu sebelum memukul bahagian belakang badan kira-kira 10 hingga 15 kali," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada beliau membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Vivien mendakwa tidak berbuat demikian sepanjang tempoh reman kerana takut, selain tidak mengetahui haknya untuk membuat laporan.
Beliau hanya membuat laporan polis ketika berada di Penjara Tawau selepas mendapatkan nasihat daripada peguam yang baharu dilantik untuk mewakilinya.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber, Vivien tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pihak polis tidak menggunakan paksaan fizikal atau mental untuk memaksanya menuduh sesiapa.
Ketika dirujuk kepada pernyataan saksi dan tuntutannya, Vivien mengesahkan dakwaan bahawa beliau ditampar pada bahagian muka, ditendang, dipukul pada bahagian belakang badan serta dada, selain dibogelkan oleh pegawai penyiasat.
Vivien turut bersetuju bahawa beliau tidak mengadu kepada Majistret berhubung dakwaan ditampar atau dianiaya ketika dihadapkan ke mahkamah pada 29 Januari 2023.
Beliau juga mengakui tidak diarahkan menjalani pemeriksaan di hospital pada tarikh berkenaan mahupun ketika dihadapkan semula ke mahkamah pada 4 Februari 2023.
Bagaimanapun, Vivien menolak cadangan SFC bahawa pegawai polis yang dinamakan sebagai defendan dalam saman sivilnya tidak pernah mengeksploitasi atau menggunakan anak-anaknya sebagai alat pemerasan atau penyiksaan psikologi.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Mardziatun bahawa dakwaan penganiayaan, serangan, paksaan membuka pakaian dan eksploitasi anak-anaknya direka serta dibesar-besarkan semata-mata untuk menyokong saman sivil berkenaan.
Vivien turut menolak cadangan bahawa tuntutannya bagi RM20 juta ganti rugi am, RM10 juta ganti rugi teladan, ganti rugi khas serta permohonan maaf terbuka adalah tidak berasas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos kemudian membenarkan Vivien yang merupakan saksi ke-14 dilepaskan selepas selesai memberikan keterangan.
Sebelum itu, Vivien bersama bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, SAC Datuk Mat Zaki Md Zain dan enam anggotanya ditahan pada Januari 2023 kerana dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan pemandu e-hailing berkenaan.
Bagaimanapun, pada 25 Januari 2024, mereka dilepas dan dibebaskan (DAA) oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas pihak pendakwaan menghentikan pertuduhan berikutan saksi utama, Nurima Juli mengaku bersalah melakukan pembunuhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
