Perkasa budaya wakaf melalui institusi

WAKAF tidak seharusnya terus dilihat sekadar sinonim dengan tanah perkuburan, pembinaan masjid atau intitusi tahfiz semata-mata, sebaliknya perlu diperkasakan sebagai antara instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih meluas.
Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Datuk Mohd Fadzli Yusof ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Waqaf Taqwa Berhad yang ditubuhkan di bawah naungan Masjid At-Taqwa TTDI baru-baru ini.
Menurut beliau, penubuhan entiti tersebut merupakan pendekatan baharu bagi mengurus dan membangunkan aset wakaf secara lebih profesional, telus serta berteraskan tadbir urus yang baik.
“Islam sesuai untuk sepanjang zaman. Maka pengurusan wakaf juga perlu bergerak mengikut keperluan semasa.
“Hari ini pendekatan terbaik adalah dengan melaksanakan wakaf secara berinstitusi supaya lebih tersusun dan diyakini masyarakat," katanya.
Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam ucapannya, Mohd Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP yang melantik Masjid At-Taqwa sebagai mutawalli wakaf.
Bukan berorientasi keuntungan
Menurutnya, pelantikan tersebut menjadi satu pengiktirafan penting kerana masjid berkenaan dipercayai merupakan institusi masjid pertama di negara ini yang diberikan tanggungjawab sebagai mutawalli wakaf di bawah MAIWP.
“Penubuhan Waqaf Taqwa Berhad menggunakan struktur syarikat berhad menurut jaminan (CLBG) dan ia bukan bertujuan menjana keuntungan atau mempunyai pemegang saham, sebaliknya diwujudkan khusus bagi mengurus dana dan aset wakaf demi kepentingan ummah.
"Tiada saham yang dimiliki individu. Ia bukan syarikat berorientasikan keuntungan, tetapi sebuah organisasi yang berfungsi mengurus amanah wakaf dengan lebih sistematik," jelasnya.
Beliau berkata, operasi syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 dan dilengkapi dengan struktur tadbir urus yang komprehensif termasuk Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Syariah serta mekanisme pemantauan kewangan bersama MAIWP.

Sambutan masyarakat
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap harta yang diwakafkan diurus secara telus dan kekal menjadi milik umat Islam.
“Dalam usaha memperluaskan penyertaan masyarakat, Waqaf Taqwa Berhad turut merancang pelbagai inisiatif termasuk penggunaan kod QR untuk memudahkan orang ramai membuat sumbangan wakaf di serta pelaksanaan seminar dan program kesedaran berkaitan wakaf.
“Sambutan masyarakat terhadap institusi wakaf ini amat menggalakkan apabila kutipan daripada penyumbang awal mencecah kira-kira RM250,000 dalam tempoh empat bulan.
“Pada peringkat awal, kita berjaya mengumpulkan sekitar RM30,000 sebelum jumlah itu meningkat kepada kira-kira RM250,000 hasil sokongan pelbagai pihak termasuk penyumbang dari Sri Lanka,” katanya.

Selain itu, ujarnya,Takaful Malaysia turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu kos operasi Waqaf Taqwa Berhad.
Beliau berharap segala sumbangan dan usaha yang dilakukan akan menjadi amal jariah yang berpanjangan serta memberi manfaat kepada masyarakat di dunia dan menjadi bekalan di akhirat.
“Semoga segala khidmat dan sumbangan ini diterima ALLAH SWT sebagai amal jariah yang berterusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
