'Mengapa ustaz sikit-sikit tak boleh dan haram?'

Soalan
Mengapakah sebahagian ustaz atau ustazah sering kali memberi teguran, termasuklah mereka mengatakan haram kepada konsert The Weeknd yang berlangsung di Bukit Jalil baru-baru ini?
Jawapan
Para ustaz dan ustazah tidak akan menegur atau menasihati masyarakat melainkan ia merupakan perbuatan yang salah di sisi agama Islam.
Mereka bukanlah sesuka hati untuk menyatakan ini tak boleh, itu haram dan sebagainya, sebaliknya rasa tanggungjawab yang ada pada diri untuk melihat masyarakat tidak terjebak dengan perbuatan yang salah dan maksiat.
Berbalik kepada konsert yang telah berlangsung baru-baru ini, ia boleh dikategorikan sebagai mengancam akidah dan hiburan yang melampau serta menyalahi syarak.
Apa-apa kebinasaan disebabkan perbuatan buruk ini sekiranya tidak ditegur, ia bukan sahaja akan menimpa pelakunya semata-mata, bahkan orang-orang soleh dan golongan tidak berdosa turut terkena tempiasnya.
Dalam sepotong hadis, Zainab binti Jahsyi RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?" Baginda bersabda: "Ya, apabila kejahatan dan kemungkaran (al-khabath) banyak berlaku". (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ia bermaksud bencana dan akibat daripada kemurkaan ALLAH SWT ini tidak hanya kena kepada orang-orang yang melakukannya, malah semuanya akan merasa kemurkaan-NYA itu.
Ada yang mendakwa mereka tidak sujud pun kepada patung tersebut, apakah masalahnya?
Mereka ini tidak sujud kepada pendeta-pendeta mereka, tetapi apa sahaja yang diungkapkan, semuanya diikuti termasuk dalam perkara haram serta tidak peduli apa yang ALLAH firmankan.
Ingatlah bahawa penyembahan bukan semata-mata sujud, kalau jiwa dah terlalu kagum, taksub dan fanatik kepada seseorang, maka rosaklah akidah.
Sekiranya kita berhati-hati dalam bab halal dan haram pemakanan seharian, mengapakah kita tidak berbuat sedemikian dalam bab hiburan ini?
Antara elemen yang dikenal pasti berlaku dalam konsert tersebut termasuklah persembahan, isi atau makna liriknya yang menyalahi syarak, percampuran lelaki dan wanita serta terselit bahasa ritual yang kita tidak faham dan sebagainya.
Lebih-lebih lagilah jika ada unsur-unsur pemujaan di dalamnya. Islam membenarkan hiburan dan kesenian, namun ia mestilah tidak bercampur dengan perkara syirik dan tidak berunsur maksiat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

