Penyelesaian sunnah hadapi bencana alam

PENTINGNYA perancangan strategik dan kesiapsiagaan logistik sebelum sesuatu krisis berlaku. Gambar kecil: DR NORHASNIRA
PENTINGNYA perancangan strategik dan kesiapsiagaan logistik sebelum sesuatu krisis berlaku. Gambar kecil: DR NORHASNIRA
A
A
A

KEBELAKANGAN ini Malaysia berdepan dengan pelbagai krisis dan bencana alam yang memberikan kesan langsung kepada aktiviti harian masyarakat.

Sebagai contoh di dalam negara sebelum ini, fenomena jerebu menyebabkan pelbagai pihak berada dalam keadaan resah. Arahan penutupan dan pembukaan sesi persekolahan yang tidak menentu telah mengganggu proses pembelajaran.

Di kawasan Pantai Timur pula, penduduk sedang bersiap sedia menghadapi musim banjir yang dijangka melumpuhkan operasi perniagaan dan mengehadkan urusan harian.

Situasi iklim yang tidak menentu itu mewujudkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Setiap kali kejadian ini berlaku, reaksi lazim yang dapat dilihat di media sosial ialah luahan kekecewaan dan tindakan menuding jari menyalahkan pihak lain.

Namun dari perspektif Islam, kejadian seperti jerebu, banjir dan kemarau bukan sekadar fenomena saintifik semata-mata, sebaliknya merupakan satu bentuk peringatan dari alam kepada manusia.

Tidak memadai dengan hanya bergantung pada tindakan fizikal seperti berkurung di rumah atau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Ia memerlukan penerapan nilai dan adab rohani yang berteraskan sunnah Rasulullah SAW.

Antara pendekatan utama berdasarkan manhaj Islam bagi mendepani krisis alam semasa ialah:

1 - Muhasabah diri dan hentikan rungutan

Artikel Berkaitan:

Tindakan pertama yang perlu diambil apabila berdepan dengan musibah ialah bertenang, berfikir secara rasional dan berhenti menyalahkan takdir atau pihak lain.

Kerosakan ekosistem alam sekitar pada hari ini berpunca daripada tindakan manusia sendiri yang mengeksploitasi alam tanpa kawalan.

BUDAYAKAN sifat ihsan dalam diri dan membantu mereka yang memerlukan.
BUDAYAKAN sifat ihsan dalam diri dan membantu mereka yang memerlukan.

ALLAH SWT telah memberikan peringatan melalui ayat ke-41 surah ar-Rum, bahawa kerosakan yang berlaku di daratan dan di lautan adalah akibat perbuatan manusia dan ia bertujuan agar manusia kembali bertaubat.

Aktiviti seperti penggondolan hutan dan pencemaran sungai memberikan impak bencana yang besar. Oleh itu, langkah penyelesaian utama adalah beristighfar dan berusaha memulihkan keseimbangan ekosistem.

2 - Kawalan lisan dan pengukuhan psikologi melalui doa

Semasa menghadapi cuaca ekstrem yang tidak terkawal, luahan kata-kata negatif mungkin terdetik dalam hati ataupun dizahirkan di platform media sosial.

Tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah fizikal seperti jerebu mahupun banjir, malah ia hanya memberikan kesan negatif kepada emosi.

Sunnah Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam untuk menukar keresahan kepada doa. Berdasarkan sepotong hadis, apabila melihat angin kencang, Baginda SAW tidak merungut, sebaliknya berdoa memohon kebaikan daripada kejadian itu dan berlindung daripada keburukan.

Pendekatan doa ini merupakan kaedah terapi psikologi berkesan untuk mengekalkan tahap pemikiran yang positif dan rasional semasa krisis.

3 - Keutamaan memelihara nyawa dan aplikasi rukhsah

Prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa (Hifz an-Nafs) merupakan salah satu elemen tertinggi dalam syariat Islam.

Apabila jerebu mencecah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat (101-200) atau berlaku ancaman banjir dan strok haba, Islam memberikan kelonggaran (rukhsah) kepada umatnya.

Perkara ini selari dengan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-185 surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa DIA menghendaki kemudahan dan tidak menghendaki kesukaran bagi umat-NYA.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah mengarahkan muazin meminta orang ramai mendirikan solat di kediaman masing-masing berikutan cuaca malam yang sangat sejuk dan hujan lebat.

Justeru, tindakan mematuhi arahan keselamatan daripada pihak kerajaan bagi mengehadkan pergerakan luar adalah bertepatan dengan tuntutan syariat Islam.

4 - Kesiapsiagaan dan pengurusan sumber yang cekap

Islam menekankan kepentingan perancangan strategik dan kesiapsiagaan logistik sebelum sesuatu krisis berlaku.

BANJIR kilat yang sering berlaku kini menghantui masyarakat terutamanya di kawasan bandar.
BANJIR kilat yang sering berlaku kini menghantui masyarakat terutamanya di kawasan bandar.

Model pengurusan krisis ini dapat dilihat melalui kisah Nabi Yusuf AS dalam al-Quran yang merancang simpanan gandum negara bagi menghadapi kemarau panjang selama tujuh tahun.

Di samping itu, pengurusan sumber seperti air dan elektrik perlu dilakukan dengan cekap tanpa sebarang pembaziran. Rasulullah SAW melarang keras pembaziran air ketika mengambil wuduk walaupun perbuatan tersebut dilakukan di sungai yang airnya mengalir deras.

Masyarakat juga perlu mengelakkan pembelian panik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan dan menafikan hak individu lain dalam komuniti.

5 - Pembudayaan sifat ihsan dan bantuan kemanusiaan

Krisis alam merupakan platform yang menguji tahap kebersamaan dan nilai empati dalam masyarakat. Rasulullah SAW menegaskan bahawa individu yang bersifat pengasih akan dikasihi oleh ALLAH dan umat Islam dituntut untuk mengasihani semua makhluk di bumi.

Sifat ihsan ini perlu direalisasikan secara praktikal melalui tindakan seperti tidak mengeksploitasi harga barangan keperluan semasa krisis, membantu mengagihkan bantuan, berkongsi bekalan makanan dan minuman serta membantu pemindahan mangsa terjejas tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

Kesimpulannya, cabaran perubahan iklim dan bencana alam semasa menuntut penyelesaian secara menyeluruh. Usaha fizikal yang diiringi aplikasi nilai rohani berteraskan sunnah mampu menjadikan umat islam lebih berdaya tahan.

JEREBU merupakan salah satu bencana yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.
JEREBU merupakan salah satu bencana yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Ini membuktikan ajaran Islam sentiasa relevan sebagai panduan terbaik untuk menguruskan krisis alam secara berkesan.

***DR NORHASNIRA IBRAHIM merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!