Habuan RM6,000 menanti atlet Perak raih emas SUKMA

IPOH – Atlet Perak yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bakal menerima insentif RM6,000 bagi acara individu sebagai galakan untuk mengharumkan nama negeri pada temasya yang berlangsung di Selangor.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif itu disediakan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sebagai penghargaan kepada atlet yang menyumbang kejayaan kepada negeri.
Menurutnya, pemenang pingat perak bagi acara individu akan menerima RM3,000 manakala gangsa RM1,500.
"Bagi acara berpasukan yang melibatkan dua hingga tiga orang, kadar insentif ialah RM4,000 bagi emas, RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa.
"Bagi pasukan empat orang dan ke atas pula, insentif ditetapkan RM2,500 bagi emas, RM1,500 bagi perak dan RM750 bagi gangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak Tahun 2026 Belang Tarung Tiga Warna di Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.
Saarani berkata, atlet yang berjaya memecahkan rekod turut akan menerima insentif RM1,000, manakala pengurus pasukan menerima 30 peratus dan jurulatih menerima 50 peratus daripada nilai pingat tertinggi, selain insentif kepada persatuan mengikut formula kiraan pingat sukan masing-masing.
Dalam pada itu, Saarani berkata, Perak meletakkan sasaran lebih tinggi pada temasya kali ini menerusi misi Silver to Gold dengan memburu 50 pingat emas bagi kontinjen SUKMA dan 25 emas bagi kontinjen Para SUKMA.
Menurutnya, sasaran tersebut juga disertai matlamat untuk meletakkan kedua-dua kontinjen dalam kelompok lima terbaik.
"Dua tahun lalu kita menyasarkan 35 emas dan kontinjen Perak pulang dengan 35 emas. Kini tiba masanya kita membawa kemampuan itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Bagi kontinjen SUKMA, sasaran 50 emas akan membawa kita melepasi rekod terbaik Perak iaitu 49 pingat emas yang diraih pada SUKMA Sabah 2002. Sudah 24 tahun rekod itu bertahan, tahun ini ayuh kita leburkannya," katanya.
Beliau berkata, tumpuan pingat emas dijangka disumbangkan menerusi sukan akuatik melibatkan renang dan terjun, menembak, memanah, olahraga, sukan kombat serta acara wanita.
Pada majlis itu, Saarani turut menyerahkan bendera negeri kepada Ketua Kontinjen, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai simbolik pelepasan kontinjen Perak ke temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026.
Seramai 790 atlet SUKMA dan 112 atlet Para SUKMA akan membawa cabaran Perak di Selangor dengan sokongan 334 pegawai, urus setia serta wakil agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

