Perak sedia insentif buat atlet Komanwel raih pingat

IPOH – Kejayaan dua atlet Perak meraih pingat dalam temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland baru-baru ini mendapat perhatian kerajaan negeri apabila mereka akan diberikan insentif.
Izzat Shameer Dzulkeple dan Aleena Ahmad Nawawi berjaya memperoleh pingat perak dalam acara boling padang individu serta boling padang berpasangan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pemberian insentif itu diberikan mengikut kadar yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) melibatkan atlet yang memenangi pingat emas, perak atau gangsa dalam kejohanan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kadar bayaran berbeza mengikut kategori kejohanan yang telah dipersetujui sebelum ini.
"Setiap atlet negeri Perak yang berjaya mendapat pingat dalam sukan bertaraf antarabangsa memang layak menerima insentif mengikut kadar yang telah diluluskan MMK.
"Mungkin bagi atlet seperti Izzat Shameer yang baru sahaja menamatkan saingan di Sukan Komanwel, penyampaian insentif akan dibuat sekali bersama pemberian insentif kepada atlet SUKMA nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perak meletakkan sasaran membawa pulang 50 pingat emas pada temasya SUKMA 2026, manakala kontinjen Para SUKMA pula disasarkan memperoleh 25 pingat emas.
Menurutnya, sasaran itu dibuat hasil perbincangan bersama pengurus pasukan dan jurulatih setiap sukan berdasarkan potensi serta jumlah pingat yang ditawarkan.
"Sukan-sukan yang menjadi fokus ialah sukan kombat seperti taekwondo, karate, silambam, muay thai dan silat selain olahraga, memanah, menembak serta boling yang menawarkan banyak pingat emas.
"Kita juga berharap beberapa sukan lain seperti e-sukan, bola sepak, futsal dan ragbi mampu memberi saingan serta menyumbang pingat kepada kontinjen Perak," katanya.
Beliau berkata, sasaran 50 pingat emas itu juga dilihat realistik berdasarkan pencapaian terbaik Perak yang meraih 49 pingat emas pada edisi 2002.
Mengulas aspek logistik sepanjang temasya, Khairudin berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak telah menubuhkan pasukan petugas di setiap lokasi pertandingan bagi memastikan kebajikan dan pergerakan atlet berjalan lancar.
Katanya, langkah itu penting memandangkan temasya SUKMA kali ini tidak menyediakan perkampungan sukan, sekali gus memerlukan setiap kontinjen menguruskan sendiri penginapan dan makan minum atlet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

