Deepavali: Lebih RM300,000 disalur bantu komuniti India Bagan Datuk

Sumbangan RM36,000 turut disampaikan kepada 12 tadika komuniti India bagi membantu keperluan pendidikan di peringkat awal.
Sumbangan RM36,000 turut disampaikan kepada 12 tadika komuniti India bagi membantu keperluan pendidikan di peringkat awal.
A
A
A

BAGAN DATUK - Lebih RM300,000 diperuntukkan bagi membantu komuniti India di Parlimen Bagan Datuk menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Bantuan merangkumi sumbangan keperluan asas kepada 2,000 keluarga B40 kaum India selain bantuan pendidikan kepada murid sekolah dan tadika di kawasan berkenaan.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, A Arvend berkata, sebanyak RM100 turut disalurkan kepada 682 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan jumlah keseluruhan RM68,200 bagi membantu persiapan persekolahan dan keperluan pendidikan akhir tahun.

"Kita juga menyumbangkan Smart Board TV kepada kesemua 16 SJK(T) di Parlimen Bagan Datuk bagi menyokong penggunaan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Pemberian kemudahan ini turut mengambil kira keperluan semua sekolah Tamil termasuk sekolah yang mempunyai bilangan murid sedikit," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini pada Ahad.

Arvend
Arvend

Arvend berkata, sumbangan RM36,000 turut disampaikan kepada 12 tadika komuniti India bagi membantu keperluan pendidikan di peringkat awal.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah program tahunan yang kita gerakkan bagi memastikan kemudahan pendidikan masyarakat India terus diberikan perhatian," katanya.

Mengulas keperluan masyarakat India di peringkat akar umbi, Arvend berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah bantuan pendidikan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke universiti, kemudahan perubatan serta bantuan kewangan kepada warga emas yang memerlukan pengangkutan ke hospital.

Katanya, isu kemudahan asas seperti longkang dan jalan turut diberikan perhatian menerusi pendekatan turun padang bagi mengenal pasti serta menyelesaikan masalah penduduk.

"Kita sentiasa turun ke kawasan akar umbi, pergi dari rumah ke rumah, estet ke estet dan lorong ke lorong untuk menyantuni masyarakat serta membantu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!