2,000 pelajar terima manfaat, suntikan koperasi sekolah RM100,000

Saarani (tengah) bersama barisan kepimpinan 25 koperasi sekolah yang menerima suntikan modal RM100,000 menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026.
Saarani (tengah) bersama barisan kepimpinan 25 koperasi sekolah yang menerima suntikan modal RM100,000 menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026.
A
A
A

IPOH - Seramai 2,000 pelajar di Perak menerima manfaat menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026 yang menyediakan peruntukan RM100,000 bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan koperasi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program itu membabitkan 25 koperasi sekolah terpilih, masing-masing menerima peruntukan RM4,000.

Menurutnya, pelaksanaan program itu menggunakan mekanisme baucar pembelian bernilai RM50 kepada setiap pelajar yang layak, untuk ditebus di koperasi sekolah masing-masing.

"Program ini berbentuk dua dalam satu kerana kita bukan sahaja membantu koperasi sekolah, malah nilai bantuan itu disalurkan terus kepada pelajar untuk membeli barangan di koperasi berkenaan.

"Jadi, pelajar dapat mengurangkan sedikit beban persediaan untuk kembali ke sekolah, manakala koperasi pula mendapat manfaat melalui peningkatan jualan," katanya.

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang Berhad turut menerima suntikan dana RM4,000 menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026.
Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang Berhad turut menerima suntikan dana RM4,000 menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Cura PERKS 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Artikel Berkaitan:

Antara koperasi sekolah terpilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Dato' Ahmad Said Ipoh Berhad; SMK Kubu Gajah Selama Berhad; SMK Toh Johan Taiping Berhad; SMK Gerik Berhad dan SMK Air Kuning Tapah Berhad.

Salbiah berkata, inisiatif yang pertama kali dilaksanakan itu memberi tumpuan kepada koperasi sekolah kategori mikro dengan pendapatan tahunan di bawah RM200,000 yang memerlukan sokongan bagi mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.

"Pada peringkat awal, kita berbincang bagaimana hendak memperkasakan koperasi dan akhirnya kita melihat pendekatan ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu pelajar dan koperasi," katanya.

Salbiah berkata, kerajaan negeri sentiasa meneliti kaedah penggunaan peruntukan sedia ada supaya setiap bantuan yang disalurkan dapat memberikan impak kepada rakyat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!