Glasgow 2026: Emas judo bersejarah, detik cemas warnai hari kesembilan Malaysia

DARIPADA detik bersejarah di gelanggang judo hingga insiden ngeri di Velodrom Sir Chris Hoy, hari kesembilan Sukan Komanwel Glasgow 2026 menyaksikan kontinjen Malaysia melalui pelbagai emosi di sini, Sabtu.
Atlet judo, Amir Daniel Abdul Majeed mencipta sensasi apabila menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki, sekali gus muncul atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas judo dalam sejarah Sukan Komanwel.
Atlet berusia 21 tahun itu menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan akhir yang berlangsung selama empat minit di SEC.
Kejayaan itu turut menyaksikan Amir Daniel, yang menghuni ranking ke-117 dunia, mengejutkan Meuwsen yang berada di tangga ke-41 dunia, selain memperbaiki pencapaiannya selepas meraih gangsa dalam kategori bawah 73kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Namun, kegembiraan kontinjen negara bertukar menjadi detik mencemaskan di Velodrom Sir Chris Hoy apabila pelumba trek, Lau New Joe terbabit dalam kemalangan yang melibatkan sembilan pelumba ketika menghampiri pusingan terakhir final acara scratch 10 kilometer (km) lelaki.
New Joe, yang disenaraikan sebagai gagal menamatkan perlumbaan (DNF), dibawa ke Hospital Universiti Queen Elizabeth di sini untuk pemeriksaan lanjut selepas mengalami kecederaan pada bahagian mulut dan gigi, selain mengadu sakit pada lutut. Beliau kini berada di bawah pemantauan pasukan perubatan.
Turut beraksi di velodrom, cabaran Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara pecut lelaki berakhir di suku akhir selepas tewas kepada pelumba Australia, Leigh Hoffman, sehari selepas jaguh negara itu mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia dalam acara keirin di Sukan Komanwel.
Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula terkandas pada pusingan 1/8 akhir selepas tewas kepada seorang lagi wakil Australia, Daniel James Barber.
Di Stadium Scotstoun, Muhammad Irfan Shamsuddin melalui hari yang mengecewakan apabila menamatkan saingan final lempar cakera lelaki tanpa sebarang catatan sah dalam pertandingan yang disertai 13 atlet.
Sementara itu, hasrat pemain boling padang nombor satu dunia Emma Firyana Saroji memburu pingat emas acara singles wanita tidak kesampaian selepas terkandas di separuh akhir di SEC.
Bagaimanapun, Emma Firyana masih berpeluang menambah koleksi pingat negara apabila dijadual berdepan Shae Wilson dari Norfolk Island dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, esok.
Berbaki sehari sebelum Sukan Komanwel Glasgow 2026 melabuhkan tirainya, Australia hampir pasti muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 65 emas, 41 perak dan 52 gangsa, jauh meninggalkan England di tempat kedua dengan 26 emas, 40 perak dan 35 gangsa, manakala Kanada menghuni tangga ketiga menerusi kutipan 18 emas, 20 perak dan 21 gangsa.
Malaysia pula berada di kedudukan ke-10 dengan kutipan lapan emas, tiga perak dan tiga gangsa, sekali gus mencatat pencapaian terbaik negara sejak Sukan Komanwel New Delhi 2010 selepas mengatasi kutipan pingat emas pada edisi Glasgow 2014 (6-7-6), Gold Coast 2018 (7-5-12) dan Birmingham 2022 (7-8-8). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
