Dua pelajar Tingkatan Lima maut nahas tiga kenderaan

Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan pembonceng, Muhammad Hafizuddin Abdullah, masing-masing berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan pembonceng, Muhammad Hafizuddin Abdullah, masing-masing berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

TEMERLOH – Dua pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai terlanggar bahagian belakang sebuah kereta sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini pada Isnin malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, penunggang motosikal, Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan pembonceng, Muhammad Hafizuddin Abdullah masing-masing berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor dalam perjalanan dari bandar Temerloh menghala ke Chenor, Maran ketika kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dipercayai cuba memotong sebuah Toyota Vios sebelum terlanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan itu.

Sebuah kereta Toyota Vios mengalami kerosakkan pada bahagian belakang sebelah kanan akibat dilanggar motosikal yang dinaiki dua pelajar berkenaan dalam kejadian di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini pada Isnin malam.

"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan menghala ke Temerloh tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikal ditunggangnya.

Artikel Berkaitan:

Motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa remuk dalam kejadian itu. Foto Polis Temerloh
Motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa remuk dalam kejadian itu. Foto Polis Temerloh

Menurutnya, pemandu Toyota Vios berusia 34 tahun dan pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!