Keluarga dua pelajar ditemui maut di flat kosong buat laporan polis

Thayaalaraj (dua dari kiri) dan Sasindran menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampung Bharu Buntong di sini pada Jumaat.
Thayaalaraj (dua dari kiri) dan Sasindran menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampung Bharu Buntong di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Keluarga kepada dua pelajar perempuan yang ditemui maut di sebuah flat terbengkalai di Sungai Pari, Buntong pada 24 Julai lalu menuntut tindakan segera diambil terhadap aspek keselamatan kawasan berkenaan.

Bapa mangsa, T Thayaalaraj, 37, berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan tragedi yang meragut nyawa anaknya, Kirthishaa, 14, serta rakannya, S Rajena, 14, tidak berulang.

Menurutnya, rumah pangsa terbengkalai itu didakwa berada dalam keadaan tidak berpagar dan mudah diakses orang awam sekali gus menimbulkan risiko keselamatan terutama kepada kanak-kanak serta remaja.

"Saya mendapat tahu melalui laporan berita bahawa rumah pangsa tersebut berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak dan pihak berkuasa.

"Insiden seperti ini mungkin dapat dielakkan sekiranya rumah pangsa itu dipagar dan berada dalam kawalan sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab supaya orang awam, khususnya kanak-kanak, tidak dapat memasuki kawasan tersebut dengan sewenang-wenangnya," katanya menerusi laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampong Bharu Buntong di sini pada Jumaat.

Turut hadir membuat laporan polis sama, bapa kepada mendiang Rajeena, A Sasidran, 36.

Sebelum ini media melaporkan Flat Sungai Pari setinggi 15 tingkat di Buntong yang terbiar sekian lama akan dirobohkan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan semula kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Zaiteena Wan Nasir berkata, lantikan pemaju telah dibuat dan pelaksanaan projek termasuk kerja merobohkan bangunan sedia ada akan ditentukan oleh pihak berkenaan.

Sementara itu, Thayaalaraj berkata, keluarganya kecewa kerana mendakwa tiada tindakan susulan yang mencukupi diambil oleh pihak berkaitan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan polis itu dibuat bagi mendesak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan orang awam.

Selain itu, beliau memaklumkan hasrat untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah bagi tindakan lanjut.

Pada 25 Julai lalu Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, dua pelajar perempuan ditemukan maut di sebuah bangunan perumahan kosong berhampiran Buntong.

Kedua-dua mangsa yang merupakan rakan baik dikatakan belajar di sekolah yang sama di Ipoh dan mengikuti sesi persekolahan pada waktu petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!