KKM sahkan terowong disinfeksi tidak mampu bunuh Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penggunaan terowong disinfeksi bagi proses nyah kuman disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mampu membunuh koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan peralatan itu boleh mendatangkan kemudaratan.

"Justeru KKM tidak menyarankan penggunaannya sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah menerima beberapa permohonan bagi tujuan pengesahan penggunaan terowong disinfeksi dan peralatan seumpamanya.

"Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM telah melakukan penilaian terhadap beberapa model terowong disinfeksi seperti kebuk (chamber), gerbang, 'booth' dan 'partition' yang mempunyai fungsi sama menyahkuman terhadap manusia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati proses nyah kuman oleh peralatan yang dinilai melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20 hingga 30 saat di mana individu akan disembur menggunakan bahan kimia.

"Kesemua model yang telah dikaji menggunakan bahan kimia berlainan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil penilaian mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jangka masa 20 hingga 30 saat tidak memadai untuk proses nyah kuman yang berkesan dan ianya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia.

"Tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (membrane mucosa) seperti di mata dan mulut," katanya.