Kerja pengorekan terowong ECRL Seksyen A, B selesai

Mohd Zuki (depan, kanan) turut meninjau perkembangan kerja-kerja infrastruktur di Terowong Kampung Gedung Siam 3 di sini pada Jumaat.
Mohd Zuki (depan, kanan) turut meninjau perkembangan kerja-kerja infrastruktur di Terowong Kampung Gedung Siam 3 di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Projek Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL) mencatat pencapaian penting apabila 25 daripada 40 terowong yang dirancang dibina sepanjang jajaran 665 kilometer merentasi empat negeri telah berjaya ditembusi sehingga Jumaat.

Penembusan itu melibatkan 21 terowong di bawah jajaran Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala empat lagi di Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, perkembangan itu meletakkan kerja-kerja projek ECRL kini mencapai kemajuan sehingga 48.77 peratus.

Menurutnya, ia sejajar dengan sasaran penyiapan projek ECRL dari Kota Bharu hingga Terminal Bersepadu Gombak menjelang Disember 2026 dan beroperasi Januari 2027.

"Selepas penembusan terowong pertama di Paka,Terengganu sepanjang 1.1 kilometer pada April 2021, Projek ECRL turut mencatatkan satu lagi pencapaian penting iaitu penembusan Terowong Kampung Gedung Siam 3 sepanjang 1.32 km sekaligus melengkapkan kerja-kerja pengorekan terowong sepanjang jajaran Seksyen A dan B

"Terowong Kampung Gedung Siam 3 sebuah terowong tunggal yang mempunyai purata ketinggian 13.47 meter dan kelebaran 13.02 meter, sekaligus mencukupi untuk menampung pengoperasian dua landasan berkembar tolok standard," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penembusan Terowong Ke-24 Projek ECRL Kampung Gedung Siam di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd ( CCC-ECRL), Kong Qi.

Mohd Zuki berkata, kerja-kerja pengorekan Terowong Kampung Gedung Slam 3 yang bermula Januari 2020 dan berjaya ditembus mengikut jadual menggunakan kaedah pengorekan gerudi dan letup.

Mohd Zuki (tengah) menyempurnakan upacara memotong reben sebagai gimik perasmian Majlis Penembusan Terowong Ke-24 Projek ECRL,Terowong Kampung Gedung Siam 3 di sini pada Jumaat.
Mohd Zuki (tengah) menyempurnakan upacara memotong reben sebagai gimik perasmian Majlis Penembusan Terowong Ke-24 Projek ECRL,Terowong Kampung Gedung Siam 3 di sini pada Jumaat.

"Terowong Kampung Gedung Siam 3 ini dibina bagi membolehkan laluan keretaapi ECRL memenuhi tahap maksima kecerunan 0.74 peratus selain mengelakkan penebangan terbuka di kawasan itu.

"Kerja-kerja infrastruktur Terowong Kampung Gedung Siam 3' dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2024," katanya.

Tambah beliau, dengan selesainya penembusan terowong ECRL di Seksyen A dan B, pihaknya yakin kerja-kerja pengorekan terowong yang sedang giat berjalan di Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang juga akan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

"Selain dari kerja-kerja pengorekan terowong, Projek ECRL juga telah berjaya mencatat pencapaian penting melibatkan pemasangan jambatan berspan panjang dari Seksyen A hingga B yang juga telah dilaksanakan sepenuhnya.

"Kerja-kerja pemasangan landasan ECRL yang pertama pula dijangka akan bermula pada suku keempat tahun ini dengan laluan sepanjang 90 kilometer dari Gebeng menghala ke Dungun," katanya lagi.

Beliau berkata, Projek ECRL melibatkan lebih 21,000 tenaga kerja di 1,600 tapak kerja sepanjang jajaran menyaksikan penglibatan kira-kira 2,700 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari tahun 2017 hingga suku pertama tahun ini.

"Nilai kontrak melibatkan syarikat tempatan dalam kerja-kerja Projek ECRL mencecah sekitar RM12 bilion, sekaligus mengatasi sasaran RM10.8 bilion yang disasarkan bagi kerja-kerja sivil projek ini.

"RM2.3 bilion atau 66 peratus dari sasaran RM3.5 bilion kerja-kerja sivil ECRL telah diberikan kepada subkontraktor dan pembekal bumiputera," katanya.