Telaga tiub, pam bergerak dicadang atasi masalah pengairan sawah Perak Tengah

Mohammad Nizar (tiga dari kanan) meninjau paras air Sungai Perak ketika lawatan ke Rumah Pam Teluk Bakong, Parit pada Jumaat.
Mohammad Nizar (tiga dari kanan) meninjau paras air Sungai Perak ketika lawatan ke Rumah Pam Teluk Bakong, Parit pada Jumaat.
A
A
A

PARIT – Kerajaan Perak sedang menilai cadangan pembinaan telaga tiub dan penyediaan pam bergerak sebagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang bagi mengurangkan masalah bekalan air yang menjejaskan kawasan sawah di luar jelapang padi di Perak Tengah.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, cadangan itu diputuskan hasil lawatan serta perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta wakil rakyat kawasan terlibat.

Menurutnya, pembinaan telaga tiub bagi menyalurkan air bawah tanah ke kawasan sawah yang kering sedang diteliti namun pelaksanaannya memerlukan kajian teknikal, kos tinggi dan tempoh yang panjang.

"Kalau kita lihat anggaran kos untuk membina 10 telaga tiub ini mencecah kira-kira RM3 juta dan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun setengah termasuk kerja kajian serta penggerudian.

"Jadi kita minta MARDI, JMG dan JPS mengemukakan laporan sama ada kaedah ini benar-benar sesuai sebagai penyelesaian jangka panjang," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Rumah Pam Teluk Bakong, di sini pada Jumaat.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya JPS menyediakan pam bergerak bermula tahun depan bagi ditempatkan di kawasan yang berisiko berdepan gangguan bekalan air ketika musim kemarau atau fenomena El Nino.

Jelasnya, pam bergerak itu boleh berfungsi jika berlaku kerosakan pam atau perlu dihantar untuk diselenggara tanpa menjejaskan musim penanaman padi yang hanya berlangsung tiga hingga empat bulan.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri juga akan terus berunding dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya pelepasan air dari empangan dapat diurus secara lebih seimbang bagi memenuhi keperluan pesawah, Lembaga Air Perak (LAP) dan JPS.

Katanya, pemantauan pelepasan air dari Empangan Temenggor sehingga ke Bersia, Kenering dan Chenderoh akan dipertingkatkan menerusi kerjasama berterusan antara JPS dan TNB.

Artikel Berkaitan:

"Kalau keadaan menjadi lebih kritikal akibat El Nino, kita juga tidak menolak untuk memohon operasi pembenihan awan daripada kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berdasarkan syor MetMalaysia.

"Bagaimanapun, itu merupakan pilihan terakhir kerana kos setiap operasi mencecah hampir RM100,000," katanya.

Sinar Harian pada 18 Julai lalu melaporkan cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila ada pesawah terpaksa menangguhkan penanaman atau tidak mengusahakan sawah mereka.

Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan yang sesuai kepada pesawah yang kehilangan pendapatan akibat tidak dapat memulakan penanaman.

Beliau berkata, satu pasukan petugas juga berkemungkinan diwujudkan bagi mengkaji penyelesaian baharu terhadap isu bekalan air di kawasan luar jelapang padi.

"Kita akan berbincang dengan beberapa agensi bagi mengenal pasti cadangan terbaik, bukan sahaja untuk Perak Tengah malah kawasan luar jelapang lain yang turut berdepan masalah sama.

"Kita juga berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyegerakan cadangan kerajaan negeri supaya kawasan luar jelapang di Perak Tengah dimasukkan sebagai kawasan jelapang padi baharu kerana perkara itu telah dibangkitkan sejak 2017," katanya.

Katanya, kawasan penanaman padi luar jelapang di Perak Tengah meliputi kira-kira 3,160 hektar melibatkan 1,200 pesawah.

Daripada jumlah itu, sekitar 1,700 hektar telah ditanam pada musim pertama manakala baki lebih 1,400 hektar masih belum ditanam disebabkan pelbagai faktor termasuk isu pengairan, kekangan modal dan pengurusan tanah.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kubang Aji, Titi Gantung dan Bota Kiri, manakala masalah di Teluk Bakong dilaporkan hampir selesai selepas tindakan pembaikan rumah pam oleh JPS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!