Cuaca panas melampau jejas 15,000 hektar tanaman padi

PARIT – Cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan seluas 15,000 hektar di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.
Lebih membimbangkan, keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa menangguhkan atau tidak mengusahakan sawah mereka.
Wakil pesawah, Nurfitri Amir Muhammad, 42, berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila kemudahan rumah pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Teluk Bakong didakwa tidak berfungsi sepenuhnya berikutan masalah penyelenggaraan.
Menurutnya, difahamkan daripada tiga pam yang terdapat di lokasi berkenaan, hanya satu beroperasi menyebabkan bekalan air ke sawah tidak mencukupi ketika cuaca kering.
"Ramalan cuaca menunjukkan bulan Julai merupakan tempoh kemarau yang lebih ketara disebabkan fenomena El-Nino. Sebab itu persediaan dari segi bajet penyelenggaraan infrastruktur seperti rumah pam perlu dilakukan lebih awal dan bukan hanya selepas masalah berlaku.
"Apabila pam rosak dan mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki, pesawah menanggung kerugian, malah subsidi kerajaan juga menjadi tidak berkesan," katanya pada sidang media di Lambor Kanan di sini pada Sabtu.

Dia berkata, corak cuaca ketika ini yang menyaksikan hujan lebat diikuti tempoh kering selama dua hingga tiga minggu turut menjejaskan pertumbuhan tanaman padi.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan lebih besar kepada pesawah yang mengusahakan padi organik kerana kawalan rumpai bergantung sepenuhnya kepada bekalan air.
Dalam pada itu, Nurfitri berkata, kelewatan musim penanaman menyebabkan sebahagian pesawah mengambil keputusan untuk tidak mengusahakan sawah kerana kekangan modal dan peningkatan kos.
Katanya, di kawasan Lambor sahaja dianggarkan lebih 400 hektar sawah terjejas, manakala sekitar 50 pesawah di blok berkenaan bergantung kepada sistem pam yang kini berdepan masalah penyelenggaraan sejak awal tahun.
Jelas Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) itu, selain di Lambor Kanan, beberapa kawasan lain seperti Changkat Lada, Bota juga turut berdepan masalah sama.
Sementara itu, Ketua PeSAWAH Perak, Azhar Hashim berkata, kekurangan air menyebabkan pertumbuhan pokok padi terbantut dan menjejaskan proses pengisian padi sekali gus mengurangkan hasil tuaian.

Beliau berkata, kawasan Lambor Kanan hanya sempat menjalankan musim penanaman pertama walaupun ketika ini sepatutnya sudah memasuki musim kedua.
"Ini bermakna negara sudah kehilangan satu musim pengeluaran padi di kawasan ini. Walaupun kawasan luar jelapang, ia tetap perlu diberi perhatian bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
"Kita juga berharap kerajaan negeri dan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih mesin pam serta menaik taraf sistem perparitan supaya bekalan air dapat disalurkan mengikut keperluan pesawah," katanya.
Beliau turut menggesa pembekalan baja diselaraskan mengikut jadual penanaman supaya pesawah dapat melakukan taburan pada waktu yang sesuai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

