KWP sudah sedia jika lebih banyak kawasan ibu negara diarah jalani PKPD

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersedia sekiranya lebih banyak kawasan di ibu negara diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yakin perkara itu mampu ditangani dengan bijaksana bertitik-tolak dengan pengalaman menguruskan PKPD di Menara Plaza City One, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Masjid India.

"Inilah perkara yang membuatkan kita 'tidur tak lena'. Kita tak sangka perlu jaga 5,000 warga asing dan akhirnya terpaksa berhempas-pulas menyediakan makanan kepada mereka.

"Sedangkan rakyat kita di luar negara kadang-kadang orang di negara berkenaan tak jaga betul-betul. Tapi, kita jadi orang Malaysia tak tergamak (tak beri makan)," katanya semasa temubual dengan sebuah portal berita di sini semalam.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan sejauh mana persediaan KWP dalam menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku pertambahan PKPD di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Setakat semalam, enam Parlimen dalam Wilayah Persekutuan diklasifikasikan sebagai kawasan zon merah terdiri daripada kawasan Seputeh, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Segambut, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, walaupun berdepan tekanan melibatkan kerjasama dengan kedutaan luar, namun KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya menyelesaikan masalah yang timbul dalam kadar segera.

"Saya hampir hilang kesabaran dengan pihak kedutaan tertentu dalam membuat keputusan melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 yang perlu hadir tiga kali mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

"Ini berkaitan sikap (kerana) soal makan kita tak boleh tunggu sampai tiga hari. Kita buat PKPD, takkan tak bagi makan sedangkan kita tak benarkan mereka keluar," katanya.

Katanya, KWP dan DBKL bertuah kerana mendapat sokongan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama membantu menyelesaikan isu tersebut.

"Hari pertama saya akui lakukan kesilapan kerana saya andaikan mereka ada dapur benarkan beli barang dan boleh memasak.

"Lepas 24 jam baru tahu unit mereka tiada dapur, dapur pun jadi bilik tidur. Unit yang boleh muatkan lima orang mereka duduk sampai 20 orang.

"Tidak sampai 48 jam, banyak pihak tampil yang sedia menyumbang makanan termasuk warga Sikh dari Gudwara yang menyediakan makanan vegetarian kepada penghuni bangunan tersebut yang ada di antaranya tidak makan daging," katanya.

Annuar berkata, beliau berdoa supaya wabak koronavirus (Covid-19) tidak terus merebak dan berpuas hati dengan langkah kerajaan dalam menangani wabak tersebut berbanding dengan negara-negara lain.

"Kita bersyukur jika lihat apa yang berlaku di luar negara New York, London, Wuhan dan Itali, Malaysia berada di nombor satu terbaik dalam menangani Covid-19.

"Setakat ini kita bersedia kerana kerajaan berani membuat keputusan. Walaupun perlu mengeluarkan belanja yang besar, tetapi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet telah meluluskan peralatan dan keperluan perubatan dan kita akan berikan selagi boleh," katanya.

Empat lokasi diletak di bawah PKPD setakat hari ini iaitu satu di Johor (Simpang Renggam, Kluang), Selangor (Sungai Lui, Hulu Langat) dan dua di Kuala Lumpur (Menara Plaza City One, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion).